KEMALANGAN tidak pernah memilih waktu. Ia boleh berlaku ketika bekerja, dalam perjalanan pulang, malah sewaktu bersukan, bercuti atau sekadar membeli keperluan harian bersama keluarga.
Sebab itu, Merak Jalanan memahami hasrat kerajaan memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Pekerjaan (SKBBK) atau Lindung 24 Jam bagi meluaskan perlindungan kepada pekerja di luar waktu bekerja.
Namun, apabila timbul kebimbangan potongan caruman secara mandatori, suara rakyat juga wajar didengari. Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, setiap potongan gaji memberi kesan, terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Keputusan kerajaan menjadikan skim itu tidak lagi diwajibkan dilihat sebagai langkah yang lebih seimbang. Ia memberi ruang kepada para pekerja membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing, tanpa menolak kepentingan perlindungan sosial.
Hakikatnya, ramai hanya menyedari nilai perlindungan apabila musibah sudah berlaku. Benarlah, kita dihimpit perasaan terbeban dengan pertambahan pemotongan dari sistem gaji walhal tidak terlibat kemalangan pun, tetapi pasti lega sewaktu mendapat pampasannya nanti.
Kemalangan di luar waktu kerja juga boleh menyebabkan hilang pendapatan, menanggung kos rawatan yang tinggi atau menjejaskan masa depan keluarga.
Melalui skim seperti ini, pencarum berpotensi menerima manfaat seperti rawatan perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal, bantuan kepada tanggungan sekiranya berlaku kematian serta sokongan pemulihan.
Perlindungan itu mampu menjadi penyelamat ketika saat sukar! Cabaran sebenar bukan sekadar soal wajib atau tidak, tetapi bagaimana kerajaan dapat meningkatkan kefahaman rakyat tentang kepentingan perlindungan sosial.