KUALA LUMPUR – Hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang dilihat ‘sekepala’ dijangka menjadi antara pertimbangan pengundi Johor dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), selain menilai mesej politik, hala tuju serta dasar pembangunan yang ditawarkan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology Kuala Lumpur, Dr Nadiah Abdul Aziz berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempen di Johor merupakan sebahagian daripada strategi komunikasi politik bagi menyampaikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan negeri serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut beliau, dalam komunikasi politik, mesej yang dibawa pemimpin bukan sekadar bertujuan menyampaikan maklumat, malah membentuk persepsi masyarakat terhadap hala tuju serta keutamaan yang ingin diketengahkan.
“Mesej sebegini penting khususnya kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka bukan sahaja menilai pencapaian semasa, malah ingin melihat perancangan, komitmen dan kompetensi seseorang pemimpin atau parti sekiranya diberikan mandat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merayu rakyat Johor memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu pada PRN Johor, sambil menegaskan amanah tersebut akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan disia-siakan.
Mengulas lanjut, Nadiah berkata, dalam landskap politik semasa, masyarakat tidak lagi menilai sesuatu mesej semata-mata berdasarkan apa yang disampaikan, sebaliknya turut mengambil kira kredibiliti pemimpin menerusi rekod prestasi, hala tuju serta dasar yang dibawa.
Katanya, komunikasi politik yang berkesan bukan hanya bertujuan meraih sokongan, sebaliknya membina kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.
“Pada akhirnya, keberkesanan komunikasi bukan sekadar bergantung kepada kekuatan mesej, tetapi juga kepada keupayaan pemimpin membuktikan mesej tersebut menerusi tindakan yang konsisten serta responsif terhadap keperluan masyarakat setempat,” katanya.