Pelajar asing tidak rampas peluang pelajar tempatan - Zambry

Iklan
Zambry. Foto fail Bernama

ISU kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi (IPT) negara kembali menjadi polemik apabila terdapat pihak yang mendakwa kehadiran mereka menjejaskan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian, khususnya di universiti awam.

Bagi menjelaskan perkara sebenar, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tampil mengupas isu tersebut secara menyeluruh dengan bersandarkan fakta, data rasmi dan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang telah dilaksanakan sejak lebih dua dekad lalu.

Iklan
Iklan

Beliau turut menjawab pelbagai persoalan termasuk dakwaan pelajar antarabangsa merampas tempat pelajar tempatan, kebanjiran pelajar dari China, manfaat ekonomi kepada negara serta hala tuju Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

Mengapa isu pelajar antarabangsa kembali dibangkitkan ketika ini?

Iklan

ZAMBRY: Sebelum saya menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan mengenai isu pelajar antarabangsa, izinkan saya menyatakan pendirian saya terlebih dahulu.

Saya sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak bertembung atau berbalas kenyataan di khalayak, lebih-lebih lagi ketika musim kempen pilihan raya, mengenai isu-isu pendidikan tinggi yang bersifat teknikal, kompleks dan memerlukan penelitian yang mendalam.

Iklan

Malah baru-baru ini, saya telah menjemput semua exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi, termasuk daripada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang untuk menghadiri mesyuarat bersama Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan tinggi.

Ada yang hadir dan memberikan pandangan yang membina dan ada juga yang memilih untuk tidak hadir. Saya masih husnuzon. Mungkin mereka sibuk. Kita perlu melihat isu ini dalam konteks semasa.

Polemik ini dipanaskan ketika negara sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), malah... kenyataan yang tular mengenai isu tersebut dibuat di pentas ceramah politik.

Dalam suasana pilihan raya, isu yang dicipta untuk menyentuh emosi lebih mudah mendapat perhatian berbanding perbahasan dasar yang memerlukan fakta dan data serta konteks sekaligus ia akan membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan pelajar.

Namun saya ingin tegaskan bahawa pendidikan tinggi tidak sewajarnya dimainkan sebagai isu politik kepartian. Ia merupakan agenda strategik negara yang dibangunkan sejak dahulu lagi, secara berterusan sejak lebih dua dekad lalu dan diteruskan oleh semua kerajaan tanpa mengira parti.

Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam dunia pendidikan tinggi. Namun apabila ia dirangka sebagai bahan kempen, ia boleh menjejaskan keseluruhan sistem pendidikan tinggi.

Ini termasuklah menjejaskan reputasi universiti negara serta menghakis keyakinan masyarakat dan komuniti antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Adakah pengantarabangsaan pendidikan tinggi merupakan dasar baharu Kerajaan?

ZAMBRY: Tidak. Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan dasar baharu dan bukan milik mana-mana kerajaan atau parti politik.

Pada tahun 2005, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji, Menilai dan Membuat Perakuan Mengenai Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Jawatankuasa tersebut membuat penanda aras di 17 buah negara serta merujuk kajian UNESCO, OECD dan Bank Dunia sebelum mencadangkan Malaysia diperkasakan sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Sejak itu, dasar ini diteruskan secara konsisten kerana manfaatnya kepada negara amat jelas. Hari ini hampir semua negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan China sendiri bersaing menarik pelajar antarabangsa kerana pendidikan tinggi dilihat sebagai sektor strategik yang menjana bakat, penyelidikan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Malaysia melaksanakan dasar yang sama dengan pendekatan yang terancang tetapi pada masa sama, KPT sentiasa mengutamakan kepentingan pelajar tempatan.

Benarkah pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan di Universiti Awam?

ZAMBRY: Tidak benar. Data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi bagi sesi 2025/2026 menunjukkan jumlah keseluruhan pelajar di Universiti Awam ialah 634,806 orang.

Daripada jumlah tersebut seramai 578,141 orang (91.1 peratus) ialah pelajar tempatan sementara 56,665 orang (8.9 peratus) ialah pelajar antarabangsa.

Pembahagian jumlah pelajar Malaysia dan pelajar antarabangsa mengikut program kemasukan seperti berikut, prasiswazah 520,105 di mana pelajar Malaysia seramai 502,212 (96.56 peratus) dan pelajar antrabangsa 17,893 (3.44 peratus).

Selain itu bagi pascasiswazah pula seramai 114,601 dengan pecahan pelajar Malaysia 75,929 (66.26 peratus) dan pelajar antarabangsa seramai 38,672 (33.74 peratus).

Majoriti pelajar antarabangsa pula mengikuti pengajian di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), khususnya dalam bidang penyelidikan.

Mereka tidak mengambil kuota kemasukan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon melalui UPU.

Ada pula yang menuduh bahawa setelah mengkritik pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat ijazah pertama dan ternyata dakwaan mereka tidak tepat, kini mereka mengalih pula kononnya universiti tidak memberi ruang kepada pelajar tempatan di peringkat pascasiswazah.

Sedangkan hampir 67 peratus pelajar pascasiswazah adalah pelajar tempatan. Oleh itu, dakwaan bahawa pelajar antarabangsa merampas peluang pelajar tempatan adalah tidak berasas.

Mengapa pelajar dari China dilihat lebih ramai di universiti Malaysia?

ZAMBRY: Fenomena ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. China mempunyai penduduk sekitar 1.4 bilion orang dan merupakan sumber pelajar antarabangsa terbesar di dunia. Setiap tahun, lebih sejuta pelajar China melanjutkan pengajian ke luar negara.

Hari ini pelajar dari China berada di hampir semua universiti terbaik dunia antaranya Amerika Syarikat menerima lebih 265,000 pelajar China, Australia sekitar 189,000 orang, United Kingdom sekitar 149,000 orang dan Kanada melebihi 100,000 orang.

Malaysia juga menerima pelajar dari China sebagaimana negara-negara lain. Daripada 32,549 pelajar China di Malaysia,22,061 orang (67.8 peratus) merupakan pelajar pascasiswazah. Selain itu seramai 10,488 orang (32.2 peratus) ialah pelajar prasiswazah di semua 20 Universiti Awam.

Ini menunjukkan majoriti pelajar China datang bagi tujuan penyelidikan dan pengajian lanjutan. Pada masa yang sama, Malaysia menerima pelajar daripada lebih 180 negara lain dan usaha mempelbagaikan sumber pelajar antarabangsa terus diperkukuhkan oleh semua universiti.

Tambahan pula, perkembangan geopolitik dunia hari ini menyebabkan semakin ramai pelajar memilih Asia sebagai destinasi pendidikan yang lebih stabil. Malaysia mendapat manfaat kerana menawarkan pendidikan berkualiti, kos yang kompetitif, negara yang aman serta universiti yang semakin mendapat pengiktirafan dunia.

Lebih membanggakan, lima Universiti Penyelidikan Malaysia kini berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia. Manakala 15 universiti awam yg lain turut mencatat peningkatan pelajar dari luar negara serta kedudukan dalam ranking universiti dunia.

Adakah kebanjiran pelajar antarabangsa sebenarnya memberi manfaat kepada negara?

ZAMBRY: Ya. Pelajar antarabangsa bukan sahaja menyumbang kepada kecemerlangan akademik universiti, malah memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Mereka membawa masuk sumber kewangan dari luar negara melalui pembayaran yuran penuh pengajian, sewaan kediaman, pengangkutan, makanan, penjagaan kesihatan serta pelbagai aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pengajian.

Sektor pendidikan antarabangsa dianggarkan menyumbang sekitar RM18 hingga RM19 bilion setahun kepada ekonomi negara serta menyokong ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pendidikan, pelancongan, pengangkutan, peruncitan dan perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, kehadiran pelajar antarabangsa memperkukuh jaringan penyelidikan, meningkatkan penerbitan ilmiah, memperluas kerjasama antarabangsa dan memperkukuh kedudukan universiti Malaysia dalam penarafan dunia.

Mengapa universiti perlu mempunyai pelajar antarabangsa?

ZAMBRY: Sejak penubuhan universiti terawal di dunia, sifat antarabangsa telah menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah universiti.

Konsep studium generale pada Zaman Pertengahan merujuk kepada institusi yang menerima pelajar dan tenaga akademik dari pelbagai wilayah serta ijazahnya diiktiraf secara meluas.

Seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Nordin Kardi dan Profesor Emeritus Datuk Raduan Che Rose, dengan kata lain, sebuah universiti bukan sekadar menawarkan pelbagai bidang ilmu, tetapi turut menjadi tempat pertemuan bakat terbaik dari seluruh dunia.

Namun bagi universiti yang telah mencapai tahap kecemerlangan, aspirasinya perlu lebih besar. Malaysia kini mempunyai 20 Universiti Awam dan ratusan institusi pendidikan tinggi. Sebahagian universiti kita telah berada dalam kelompok terbaik dunia.

Oleh itu, sudah tiba masanya universiti-universiti berkeupayaan ini benar-benar memenuhi cita-cita asal sebuah universiti bertaraf dunia, iaitu menjadi destinasi pilihan pelajar dan ilmuwan terbaik dari seluruh dunia, sambil terus memelihara kepentingan pelajar tempatan.

Kehadiran pelajar antarabangsa bukan ancaman kepada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah bukti bahawa dunia semakin yakin terhadap mutu pendidikan tinggi negara.

Selepas berjaya menarik pelajar antarabangsa, langkah seterusnya ialah menarik lebih ramai sarjana, profesor dan penyelidik bertaraf dunia untuk bersama membina ekosistem ilmu di Malaysia.

Inilah hala tuju sebuah negara yang mahu menjadi pusat kecemerlangan ilmu, inovasi dan tamadun pendidikan tinggi di rantau ini.

Apa nasihat kepada golongan yang terlalu pesimis?

ZAMBRY: Pendidikan tinggi merupakan aset strategik negara. Reputasi universiti Malaysia dibina melalui usaha yang konsisten oleh kita semua untuk meningkatkan kualiti akademik, memperkukuh penyelidikan, melahirkan graduan berdaya saing serta menarik bakat terbaik dari seluruh dunia.

Jika ada kritikan, kemukakan pandangan yang konstruktif dan berfakta. Jika ada dakwaan, sertakan bukti.

Perbezaan pandangan sentiasa dialu-alukan kerana daripada perbahasan yang sihat lahir idea dan penambahbaikan. Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan, teguran dan cadangan yang boleh meningkatkan mutu, nilai serta daya saing pendidikan tinggi negara.

Kita percaya tiada dasar yang sempurna dan sentiasa ada ruang untuk diperbaiki. Justeru, setiap pandangan yang dikemukakan secara jujur, berasaskan fakta dan dengan niat untuk membina akan sentiasa diberi perhatian.

Namun, janganlah kita terbawa-bawa dengan emosi, sentimen atau kebencian yang keterlaluan sehingga mengaburkan pertimbangan dan mengatasi fakta.

Lebih malang jika atas nama politik jangka pendek, kita mengorbankan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi negara serta mencalar reputasi universiti-universiti Malaysia di mata dunia.