Lelaki diberkas, polis rampas cecair syabu bernilai RM450,000

Iklan
Dennis Lim berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sama ada sebagai pemilik, pengedar atau pelindung aktiviti berkenaan.

GEORGE TOWN- Polis menumpaskan satu kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan cecair syabu dianggarkan seberat sembilan kilogram bernilai lebih RM450,000 dalam operasi di Nibong Tebal pada Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira jam 9 malam di daerah Seberang Perai Selatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah yang aktif sejak Mei lalu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita aset dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000.

Iklan

Tambahnya, suspek direman tujuh hari bermula 7 hingga 13 Julai bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Iklan

Dennis Lim berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN Pulau Pinang dengan kerjasama orang awam.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sama ada sebagai pemilik, pengedar atau pelindung aktiviti berkenaan.

“JSJN kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.