HTAR susun semula tenaga kerja tangani beban tugas pegawai perubatan

Iklan
Jabatan Pembedahan Am HTAR kini mempunyai seramai 32 pegawai perubatan, namun jumlah itu sentiasa berubah mengikut urusan penempatan serta perpindahan keluar masuk pegawai dari semasa ke semasa. Foto hiasan

KLANG - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengambil beberapa langkah penyusunan semula tenaga kerja bagi menangani isu beban tugas pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan Am hospital berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataannya berkata, pengisian jawatan di HTAR dibuat berdasarkan perjawatan yang sudah diluluskan, manakala kelangsungan perkhidmatan setiap jabatan bergantung kepada pegawai perubatan tetap, kontrak dan pegawai perubatan dalam latihan kepakaran.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Jabatan Pembedahan Am HTAR kini mempunyai seramai 32 pegawai perubatan, namun jumlah itu sentiasa berubah mengikut urusan penempatan serta perpindahan keluar masuk pegawai dari semasa ke semasa.

"Situasi ini memberi kesan sementara kepada penyusunan jadual tugas menyebabkan peningkatan kekerapan tugasan atas panggilan.

Iklan

JKNS memaklumkan, beberapa pegawai tetap dan kontrak yang baharu melapor diri sudah diagihkan ke jabatan-jabatan kritikal termasuk Jabatan Pembedahan Am bagi membantu menampung keperluan perkhidmatan.

Selain itu, menurut JKNS, mobilisasi pegawai perubatan antara jabatan turut akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi membantu jabatan yang berdepan beban kerja lebih tinggi.

Iklan

"HTAR juga dijangka menerima kemasukan pegawai perubatan tetap baharu pada Ogos ini dan pegawai terbabit akan ditempatkan di jabatan-jabatan yang memerlukan," jelas kenyataan itu.

JKNS memberitahu, pihak pengurusan HTAR memaklumkan pemantauan terhadap beban kerja di setiap jabatan dilakukan secara berterusan bagi memastikan tenaga kerja dapat disusun semula mengikut keperluan semasa.

Katanya, sesi libat urus bersama ketua jabatan serta wakil pegawai perubatan turut akan diadakan secara berkala bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu operasi di lapangan.

"Fokus utama HTAR adalah memastikan kualiti rawatan, kebajikan kakitangan dan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan," tambah kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah portal pada 7 Julai lalu melaporkan isu beban tugas pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan Am HTAR yang didakwa memberi kesan terhadap penyusunan jadual tugasan serta kekerapan tugasan atas panggilan.