Kesatuan sekerja bantah rancangan Volkswagen mahu buang 100,000 pekerja

Iklan
Gambar yang dirakam menunjukkan pekerja Volkswagen (VW) dipantulkan pada logo sebuah kereta VW ketika mereka mengadakan demonstrasi di hadapan kilang pengeluar automotif Jerman itu di Zwickau, timur Jerman.

PENGURUSAN gergasi automotif Jerman, Volkswagen (VW) dijadualkan bermesyuarat pada Khamis bagi memuktamadkan rancangan yang berpotensi menjadi penstrukturan semula terbesar dalam sejarah industri automotif global, dengan kesatuan sekerja bersiap sedia membantah sebarang pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Pengeluar kereta terbesar di Eropah itu berdepan tekanan hebat akibat tarif Amerika Syarikat (AS), margin keuntungan yang semakin mengecil daripada kenderaan elektrik, dan yang paling ketara, persaingan sengit di China, pasaran automotif terbesar dunia.

Iklan
Iklan

VW, yang memiliki 10 jenama daripada Seat untuk pasaran massa hingga Porsche untuk segmen premium, kini sedang melaksanakan rancangan mengurangkan 50,000 pekerjaan di Jerman menjelang 2030, termasuk 35,000 jawatan di jenama Volkswagen sendiri.

Pengurangan tenaga kerja di bawah jenama Volkswagen itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan kesatuan sekerja pada penghujung tahun 2024, yang turut menjamin tiada penutupan kilang di Jerman sekurang-kurangnya sehingga penghujung dekad ini.

Iklan

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif VW, Oliver Blume kini dilaporkan mempertimbangkan untuk mengurangkan 100,000 pekerjaan di seluruh dunia, selain menutup tiga kilang Volkswagen di Jerman serta sebuah kilang Audi, menurut laporan mingguan Manager Magazin yang memetik sumber dalaman syarikat.

“Jika rancangan ini menjadi kenyataan, kami akan menghalangnya dengan segala kemampuan yang kami ada,” kata Ketua Kesatuan Sekerja berpengaruh IG Metall, Christiane Benner dalam kenyataan bersama dengan ketua majlis pekerja VW, Daniela Cavallo.

Iklan

IG Metall menganjurkan bantahan oleh pekerja VW di luar kilang-kilang syarikat di seluruh Jerman pada Khamis, ketika pihak pengurusan membentangkan pelan penstrukturan semula tersebut kepada lembaga penyelia.

Struktur pemilikan kompleks

Kebiasaannya, 20 anggota lembaga penyelia VW dibahagikan sama rata antara wakil pekerja dan pemegang saham.

Bagaimanapun, pihak pekerja kini mempunyai kelebihan majoriti selepas Susanne Wiegand, bekas ketua syarikat pertahanan Renk meletakkan jawatan baru-baru ini.

Kumpulan automotif berusia 89 tahun itu turut mempunyai struktur pemilikan yang kompleks, menjadikan proses penstrukturan semula lebih sukar. Negeri Lower Saxony yang menempatkan ibu pejabat VW di Wolfsburg serta enam kilang syarikat, memiliki pegangan saham yang besar dan mempunyai kuasa untuk menyekat keputusan tertentu.

Beberapa sumber yang rapat dengan perkara itu memberitahu AFP bahawa tiada pengumuman besar dijangka dibuat sejurus selepas mesyuarat tersebut kerana ia berkemungkinan hanya permulaan kepada proses rundingan yang panjang.

Namun, sekiranya rancangan itu akhirnya diluluskan, ia akan melibatkan pengurangan kira-kira 15 peratus daripada tenaga kerja global VW, yang kini berjumlah sekitar 630,000 pekerja.

Langkah itu akan mengatasi semua program pengurangan pekerja besar yang pernah berlaku dalam industri automotif, termasuk tindakan General Motors yang berpangkalan di Detroit untuk mengurangkan hampir 50,000 pekerjaan pada 2009 ketika syarikat itu mengisytiharkan muflis.

Keseluruhan industri automotif Jerman termasuk pesaing VW seperti BMW dan Mercedes-Benz serta rangkaian pembekalnya turut bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pengurangan pekerjaan dan penstrukturan semula menjadi semakin biasa.

Kejatuhan mendadak

Walaupun enggan memberikan butiran lanjut, jurucakap VW berkata kumpulan itu perlu meningkatkan daya saing dan melaksanakan *disiplin kos dan pelaburan yang lebih ketat.

Blume berulang kali menegaskan keadaan syarikat adalah kritikal. Beliau sebelum ini memberitahu para pemegang saham bahawa VW perlu berubah atau berdepan risiko lenyap.

“Model perniagaan yang kami gunakan selama beberapa dekad lalu tidak lagi berfungsi,” katanya dalam surat pada bulan Mac, sambil merujuk kepada keadaan pasaran serantau, perubahan dalam dasar perdagangan, keperluan peraturan yang ketat di pelbagai wilayah dunia serta kedudukan kos tinggi kami, khususnya di Eropah.

Tarif yang lebih tinggi ke atas kereta dan alat ganti automotif yang diperkenalkan AS tahun lalu dijangka menelan kos sekitar €5 bilion (AS$5.7 bilion) setahun kepada VW. Keadaan ini lebih meruncing bagi Audi dan Porsche yang tidak mempunyai kilang di AS.

VW juga semakin kehilangan kedudukannya di China. Jualan yang merosot selama beberapa tahun akibat persaingan sengit daripada pengeluar tempatan menyebabkan penghantaran kenderaan syarikat itu di negara tersebut jatuh ke paras terendah sejak tahun 2011.

“Kereta yang dijual di China, sebahagiannya antara yang terbaik di dunia,” kata Pengasas Firma Analisis Sino Auto Insights, Tu Le kepada AFP.

“Kemerosotan yang dialami pengeluar kereta Jerman benar-benar berlaku secara mendadak.”

Blume turut membayangkan kemungkinan kilang-kilang VW di Eropah digunakan untuk menghasilkan kenderaan reka bentuk China milik syarikat itu bagi memanfaatkan kapasiti yang tidak digunakan sepenuhnya. Beliau juga menyatakan bahawa pengeluaran untuk kontraktor pertahanan boleh menjadi satu pilihan.

“Pengeluar China sedang memasuki Eropah dan turut membina kilang yang sangat cekap.

“Kami tidak mampu bersaing dengan kilang yang tidak beroperasi pada kapasiti optimum.”