PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah di luar negara bernilai kira-kira RM59 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti haram serta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, maklumat berhubung dakwaan itu diterima pada 15 Jun lalu sebelum kertas siasatan dibuka sehari kemudian bagi menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).
"Siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram serta aspek pemulihan aset," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pada peringkat awal siasatan, SPRM memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun yang menyiarkan dakwaan berkenaan, selain mengesahkan ketulenan dokumen yang disertakan.
Katanya, proses itu penting sebelum analisis lanjut dijalankan bagi menentukan tindakan seterusnya.
"Apabila perkara-perkara tersebut dapat dipastikan, barulah kita mengenal pasti sumber kewangan yang digunakan untuk memperoleh aset berkenaan sekiranya laporan itu mempunyai asas," jelas beliau.
Abdul Halim berkata, SPRM kini bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai pemilikan serta pergerakan aset yang didakwa.
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat asas, SPRM akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM dan AMLA, termasuk melaksanakan analisis kewangan bagi mengesan sebarang aliran transaksi yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Menurutnya, siasatan juga akan tertumpu kepada usaha pemulihan aset sekiranya terbukti harta berkenaan diperoleh hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Memandangkan siasatan masih di peringkat awal, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut. Biarlah siasatan diselesaikan terlebih dahulu sebelum perkembangan lanjut dimaklumkan," katanya.
Ditanya adakah SPRM akan memanggil isteri kepada bekas Perdana Menteri, Abdul Halim menjelaskan pihaknya akan meneliti dari segenap aspek dan akan memanggil sesiapa sahaja sekiranya relevan dalam siasatan.