Rahim Bai ditahan kes ugut

Iklan
Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengugut seorang individu ketika mangsa sedang membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok. - Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengugut seorang individu ketika mangsa sedang membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok di Kampung Sri Langkas Puchong pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pengadu bersama beberapa rakannya sedang menjalankan siaran langsung sebelum didatangi beberapa lelaki yang melarang mereka membuat rakaman di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Salah seorang lelaki yang dikenali sebagai Rahim Bai dipercayai mengeluarkan ugutan terhadap pengadu dengan memberi amaran supaya rakaman tersebut tidak ditularkan.

"Suspek dipercayai mengugut pengadu dengan mengatakan sekiranya rakaman berkenaan menjadi tular, dia akan 'memecahkan muka' pengadu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Wan Azlan berkata, pengadu berasa takut akibat ugutan tersebut dan tampil membuat laporan polis.

"Bertindak hasil laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya menahan seorang lelaki tempatan di Subang Jaya pada Rabu kira-kira jam 4.20 petang," katanya.

Iklan

Katanya, suspek kemudian dibawa ke mahkamah dan perintah tahanan reman selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu diberikan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah," ujarnya.