KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI terus memperkukuh tadbir urus dan tatakelola pentadbiran negara bagi memulihkan semula keyakinan dunia terhadap Malaysia, yang terjejas susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melaksanakan pelbagai reformasi institusi bagi memastikan skandal seperti 1MDB tidak berulang, selain mengembalikan keyakinan pelabur dan pasaran terhadap negara.
"Hasilnya, Malaysia berjaya mencatat prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah, serta kedudukan dalam indeks daya saing dunia bertambah baik,” katanya menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, bagi memperkukuh disiplin fiskal serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan kewangan negara.
Beliau berkata, kerajaan turut meminda Akta Audit bagi memperluas skop pengauditan Ketua Audit Negara menerusi pendekatan follow the public money, sekali gus membolehkan audit terhadap penggunaan dana awam dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan juga sedang menggubal Akta Perolehan Kerajaan serta melaksanakan pembaharuan terhadap kerangka perundangan syarikat milik kerajaan (SOE), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus.
Beliau berkata, skandal 1MDB, bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan, malah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia pada peringkat antarabangsa apabila mendapat liputan meluas media global, mencetuskan siasatan pelbagai agensi penguatkuasaan luar negara serta melibatkan prosiding mahkamah rentas sempadan.
"Keadaan ini telah memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara.
"Reputasi negara yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara,” katanya.
Katanya, akibat daripada skandal tersebut, kerajaan sejak 2017 telah membelanjakan RM18.7 bilion daripada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan bagi memenuhi obligasi kewangan 1MDB.
Beliau berkata, sebaik sahaja Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada Mac 2023, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM13 bilion daripada belanja pembangunan untuk melunaskan Bon 1MDB berjumlah AS$3 bilion yang dijamin kerajaan, yang bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan belanja pembangunan tahun tersebut.
Terdahulu, Chin Tong berkata, setakat 30 Jun lepas, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) berjumlah RM8.9 bilion yang matang pada 2039, meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion.
"Ini bermakna, secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh Kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya.
Chin Tong berkata, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana sebanyak RM31.3 bilion, manakala baki obligasi RM20.1 bilion terpaksa ditanggung kerajaan jika tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan.- Bernama