TEHERAN - Upacara pengebumian Ayatollah Ali Khamenei dijadual berlangsung di Makam Imam Reza di Mashhad pada Khamis, lebih empat bulan selepas pemimpin tertinggi Iran itu terbunuh dalam serangan udara Israel, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Upacara pengebumian di makam paling suci bagi penganut Syiah di Iran itu akan diadakan secara tertutup.
Upacara penghormatan terakhir kepada Khamenei bermula pada Sabtu di ibu negara, Teheran, dengan jutaan penyokong hadir memberi penghormatan kepada bekas pemimpin politik dan kerohanian itu yang memerintah Iran selama 36 tahun.
Upacara itu kemudian diteruskan di bandar suci Qom sebelum berlangsung di negara jiran, Iraq pada Rabu.
Tumpuan kini terarah kepada sama ada anak serta penggantinya, Mojtaba Khamenei, akan membuat kemunculan pertama di khalayak sejak bermulanya perang Iran apabila perarakan pengebumian itu tiba di destinasi terakhirnya di Mashhad.
Mojtaba Khamenei tidak lagi kelihatan di khalayak sejak dinamakan sebagai pemimpin tertinggi pada Mac, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth mendakwa beliau"cedera dan berkemungkinan mengalami kecacatan fizikal."
Ali Khamenei terbunuh pada 28 Februari dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman rasminya di Teheran.- Bernama