Menteri Besar Perlis, Exco letak jawatan MPT Bersatu

Iklan
Abu Bakar ditemui selepas majlis sambutan ketibaan pelancong dari Thailand sempena pembukaan semula laluan air Jeti Kuala Perlis-Satun di Kuala Perlis pada Khamis.

KUALA PERLIS – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat pusat selain mahu memberi komitmen penuh dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Perlis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peletakan jawatan ini tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sambutan ketibaan pelancong dari Thailand sempena pembukaan semula laluan air Jeti Kuala Perlis-Satun di Kuala Perlis di sini.

Iklan

Jelas Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT pada minggu lalu.

Menurutnya, beliau dan Marzita berbincang secara mendalam mengenai perkara berkenaan dan membuat keputusan memberi laluan kepada orang lain untuk terus berkhidmat di peringkat pusat, sementara mereka memfokuskan perkhidmatan di negeri.

Iklan

“Peletakan jawatan ini tidak menjejaskan kedudukannya dalam parti kerana saya masih kekal sebagai ahli Bersatu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar dengan kebenaran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan keputusan itu mempunyai kaitan dengan sebarang tekanan politik atau spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan parti.

Tambahnya, keputusan tersebut tiada kaitan dengan kemelut politik di peringkat pusat mahupun niat untuk menyertai parti lain kerana masih terikat dengan Akta Antilompat Parti.

"Kami sentiasa mendapat layanan terbaik daripada Presiden dan parti tanpa sebarang masalah," katanya yang mahu memperkukuhkan semula organisasi tiga bahagian Bersatu di Perlis susulan perubahan beberapa jawatankuasa sebelum ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, beliau berusaha meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dititahkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Katanya, kerajaan negeri kini memberi keutamaan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan serta memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dapat dicapai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Insya-ALLAH, ada beberapa perancangan baharu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu pembangunan Perlis," katanya.