Prabowo ajak rakyat Indonesia contohi kestabilan demokrasi India

Iklan
Narendra Modi (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, selepas menghadiri sidang akhbar bersama di Istana Merdeka, Jakarta. Foto: AFP

YOGYAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menggesa rakyat negara itu mencontohi pengalaman India dalam mengekalkan kestabilan pemerintahan dan menguruskan demokrasi di tengah-tengah kepelbagaian kaum, bahasa serta budaya.

Beliau berkata, India berjaya membuktikan sebuah negara yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk mampu melaksanakan peralihan kuasa secara aman selama bertahun-tahun, sekali gus menjadi contoh yang boleh dipelajari Indonesia.

Iklan
Iklan

Menurut Prabowo, kejayaan India mengekalkan kestabilan politik amat mengagumkan memandangkan negara itu turut mempunyai ratusan kumpulan etnik serta pelbagai bahasa serantau seperti Indonesia.

"Kami melihat India sebagai sebuah negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk, banyak kumpulan etnik seperti kami dan pelbagai bahasa.

Iklan

"Namun, negara itu berjaya menguruskan peralihan pemerintahan secara aman di banyak negeri serta di peringkat Kesatuan India. Ia merupakan satu pencapaian luar biasa," katanya.

Prabowo berkata, beliau sendiri sentiasa mengikuti perkembangan dan pencapaian India sebagai rujukan dalam memperkukuh sistem pentadbiran Indonesia.

Iklan

Pada majlis sama, beliau turut menegaskan demokrasi masih merupakan sistem pemerintahan terbaik walaupun pelaksanaannya sering berdepan pelbagai cabaran.

"Demokrasi bukan sistem yang mudah, malah kadangkala kelihatan bercelaru. Namun, saya percaya kita semua bersetuju bahawa ia adalah sistem terbaik untuk menjamin keadilan, harapan dan keterangkuman," katanya.

Beliau mengakui amalan demokrasi sentiasa berdepan risiko termasuk cubaan pihak tertentu memanipulasi proses demokrasi demi kepentingan sendiri.

Sehubungan itu, Prabowo menggesa semua lapisan masyarakat terus mempertahankan keyakinan terhadap demokrasi agar sistem tersebut dapat berfungsi berlandaskan prinsip yang betul.

"Kita tidak boleh berputus asa. Kita mesti terus percaya kepada demokrasi dan berusaha mempertahankannya," katanya.-Agensi