Bangladesh gesa Jepun perkukuh usaha diplomatik bawa pulang pelarian Rohingya

Iklan
Rahman (tengah) ketika bertemu delegasi Jepun. Foto: Bay Of Bengal Pots

DHAKA – Bangladesh menggesa Jepun memainkan peranan lebih aktif dalam membantu memastikan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar dapat dilaksanakan secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, menyuarakan perkara itu ketika menerima kunjungan delegasi kanan Jepun yang diketuai Timbalan Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar, Shimada Tomaki, di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut Timbalan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Zahidul Islam, pertemuan itu memberi tumpuan kepada krisis Rohingya, projek pembangunan yang dibiayai Jepun, kerjasama tenaga serta perkembangan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Bangladesh-Jepun (EPA).

Rahman merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Tokyo kepada Bangladesh dan menggesa Jepun terus memperkukuh usaha diplomatik di peringkat antarabangsa bagi membantu lebih sejuta pelarian Rohingya yang kini berlindung di negara itu pulang ke Myanmar.

Iklan

Dalam pertemuan tersebut, delegasi Jepun turut mengumumkan pemberian lima bot rondaan kepada Tentera Laut Bangladesh bagi memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara berkenaan.

Selain itu, Jepun memberi maklum balas positif terhadap permohonan Bangladesh untuk meningkatkan bantuan kewangan bagi sektor keselamatan tenaga daripada AS$312 juta (RM1.27 bilion) kepada AS$500 juta (RM2.040 bilion)

Iklan

Kedua-dua pihak turut meneliti kemajuan beberapa projek infrastruktur utama yang dibiayai oleh Japan International Cooperation Agency, termasuk Pelabuhan Laut Dalam Matarbari, projek Transit Aliran Massa (MRT) Dhaka dan terminal ketiga Hazrat Shahjalal International Airport.

Rahman berkata, beliau optimis pembinaan terminal baharu lapangan terbang itu dapat disiapkan menjelang Disember ini sebelum dirasmikan pada tahun yang sama.

Dalam masa sama, Bangladesh dan Jepun mengulangi komitmen untuk mempercepat pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi yang dijangka merangsang perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Delegasi Jepun turut mengundang Rahman mengadakan lawatan rasmi ke Jepun, dan beliau menyatakan kesediaan untuk memenuhi jemputan itu pada tarikh yang dipersetujui bersama. - Agensi