'Fifanic' tular, FIFA dikritik selepas Argentina singkir Mesir

Iklan
Gelombang kritikan terhadap FIFA tercetus di media sosial selepas kemenangan kontroversi Argentina 3-2 ke atas Mesir dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026. Foto: Agensi

GELOMBANG kritikan terhadap FIFA tercetus di media sosial selepas kemenangan kontroversi Argentina 3-2 ke atas Mesir dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, dengan tanda pagar dan meme 'Fifanic' menjadi tular.

Keputusan perlawanan itu bukan sahaja mengundang kemarahan penyokong Mesir, malah menarik perhatian beberapa tokoh sukan dunia yang mempersoalkan mutu pengadilan dan penggunaan Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR).

Iklan
Iklan

Persatuan Bola Sepak Mesir dilaporkan mengemukakan bantahan rasmi terhadap pengadil dari Perancis, François Letexier, serta barisan pegawai perlawanan susulan beberapa keputusan yang dianggap meragukan.

Antara yang lantang bersuara ialah legenda catur dunia, Garry Kasparov, yang menyifatkan penggunaan VAR dalam perlawanan itu tidak konsisten.

Iklan

Menurutnya, jaringan Mesir dibatalkan kerana kekasaran yang berlaku jauh daripada situasi gol, namun insiden hampir sama beberapa minit kemudian tidak digunakan untuk membatalkan jaringan Argentina.

"VAR langsung tidak digunakan. FIFA sekali lagi kelihatan seperti jenaka yang korup dan memihak kepada bintang-bintang tertentu," katanya menerusi media sosial X.

Iklan

Bekas pengurus José Mourinho turut mengkritik pengadilan perlawanan itu.

"Apabila menentang Argentina, kelebihan 2-0 masih belum mencukupi. Anda bukan sekadar menentang 11 pemain, tetapi juga wisel pengadil, bilik VAR dan keseluruhan jalan cerita kejohanan," katanya.

Bekas penyerang England, Alan Shearer, turut mempersoalkan ketidakselarasan keputusan pengadil dengan berkongsi semula pandangan seorang wartawan BBC di media sosial.

'Fifanic', meme banjiri media sosial

Kemarahan penyokong kemudian diterjemahkan melalui pelbagai meme yang menjadi tular di platform media sosial.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah meme 'Fifanic', yang memparodikan poster filem Titanic dengan memaparkan Lionel Messi dan Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam pose ikonik filem berkenaan.

Terdapat juga gambar suntingan yang memaparkan Infantino mendukung Messi bersama trofi Piala Dunia, selain meme mendakwa Argentina mempunyai 'pemain ke-12' dalam diri FIFA.

Media Russia Today pula menyiarkan imej satira memaparkan pengadil kononnya berkata,"Maaf... Messi mesti ke final", bersama kapsyen"VARGENTINA APPROVED".

Satu lagi meme yang tular mendakwa perlawanan itu bukan berlangsung antara 11 pemain Mesir menentang 11 pemain Argentina, sebaliknya menentang Argentina bersama pengadil dan VAR.

Jurulatih Mesir kecewa

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, turut meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan pengadil selepas tamat perlawanan.

Menurutnya, Mesir sepatutnya diberikan sepakan penalti dan satu jaringan yang dibatalkan juga tidak mempunyai alasan yang jelas.

"Saya akan pulang dan tidak akan menonton lagi baki perlawanan kejohanan ini. Apa yang berlaku kepada kami adalah tidak adil," katanya.

Video yang tular selepas perlawanan turut memaparkan penyokong membaling wang sebagai simbolik dakwaan bahawa keputusan perlawanan memihak kepada Argentina.

Setakat ini, FIFA belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung bantahan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Mesir.-Agensi