ANKARA – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan perhatian umum apabila secara tidak sengaja menyebut Iran sebagai 'Republik Islam Jepun' ketika berucap di luar Sidang Kemuncak NATO di Ankara, Türkiye pada Rabu.
Kesilapan itu berlaku ketika Trump mengulas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sebelum rakaman ucapannya tular di media sosial.
Iklan
Iklan
Dalam kenyataannya, Trump mendakwa Iran telah melancarkan 111 peluru berpandu ke arah sebuah kapal induk AS, namun mendakwa kesemuanya berjaya dipintas.
Trump turut memberi amaran bahawa AS bersedia melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran.
Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa gencatan senjata sementara antara kedua-dua negara telah 'berakhir', sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik kembali memuncak.
Bagaimanapun, Trump tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan mengenai serangan 111 peluru berpandu itu.
Kesilapan menyebut nama Iran sebagai 'Republik Islam Jepun' turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam talian, dengan rakaman video ucapan tersebut dikongsi secara meluas oleh pengguna media sosial. - Agensi