Keterjaminan makanan: Jangan selesa dengan data DOSM

Iklan
Nordin (dua dari kiri) bersama Mohd Uzir (kiri) ketika melawat projek keterjaminan rantaian bekalan ikan air tawar IGROW di HTA Aquaculture di Changkat Tualang, Kampar baru-baru ini.

IPOH - Peningkatan Indek Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berasa selesa kerana realiti di lapangan masih menunjukkan pelbagai isu yang membelenggu sektor pertanian tempatan.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Keusahawanan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, meskipun beliau mengalu-alukan laporan DOSM yang menunjukkan skor keterjaminan makanan Malaysia meningkat kepada 61.5 mata, data itu perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan sebenar pengeluaran domestik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kadar kebergantungan negara terhadap import makanan yang masih melebihi 50 peratus sekali gus memberi kesan kepada tahap sara diri (SSR), kos sara hidup serta aliran keluar mata wang negara.

"Saya mengalu-alukan data yang dikeluarkan DOSM kerana ia penting untuk melihat tahap keterjaminan makanan negara. Namun, kita tidak boleh selesa dengan angka semata-mata kerana realiti di lapangan masih menunjukkan banyak cabaran yang perlu ditangani.

Iklan

"Keterjaminan makanan bukan sekadar memastikan bekalan makanan sentiasa ada, tetapi perlu dilihat daripada aspek pengeluaran domestik, kemampuan rakyat mendapat makanan pada harga berpatutan, manfaat kepada pengeluar tempatan serta nilai pemakanan," katanya dalam kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nordin berkata, walaupun bekalan makanan dilihat stabil, isu seperti ketidakstabilan harga hasil pertanian, lambakan produk import dan kelemahan penguatkuasaan terhadap ladang haram masih membelenggu pengusaha tempatan.

Iklan

Nordin (dua dari kiri) bersama Mohd Uzir (kiri) ketika melawat projek keterjaminan rantaian bekalan ikan air tawar IGROW di HTA Aquaculture di Changkat Tualang, Kampar baru-baru ini.

Menurutnya, golongan petani dan usahawan tani terus berdepan tekanan akibat turun naik harga yang tidak menentu sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai usahawan pertanian mengecilkan operasi atau meninggalkan sektor berkenaan kerana tidak lagi melihat pertanian sebagai bidang yang menguntungkan.

"Saya menerima banyak aduan daripada bekas graduan dan usahawan tani yang dahulunya mampu mengusahakan sehingga 50 ekar tanaman, tetapi kini lima ekar pun mereka tidak sanggup usahakan.

"Masalah paling besar ialah ketidakstabilan harga. Hari ini timun boleh dijual pada harga RM2.50 sekilogram, tetapi keesokannya jatuh sehingga 90 sen sekilogram. Keadaan ini mematikan semangat mereka untuk terus bertani," katanya.

Nordin turut menyuarakan kebimbangan terhadap penglibatan pendatang asing dalam sektor pertanian yang didakwa semakin meluas sehingga menimbulkan persaingan tidak seimbang kepada pengusaha tempatan.

Beliau berkata, isu itu bukan berpunca daripada tahap kerajinan pekerja asing sebaliknya berkait rapat dengan faktor kos operasi, penguasaan pasaran dan manipulasi harga.

Dalam masa sama, katanya, imej sektor pertanian yang semakin dilihat tidak menguntungkan menyebabkan minat generasi muda untuk menceburi bidang itu semakin merosot.

Menurut beliau, keadaan itu dapat dilihat melalui kadar pengambilan pelajar di institusi latihan pertanian yang gagal mencapai sasaran setiap tahun.

Beliau menegaskan keterjaminan makanan perlu dinilai secara lebih menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan kemampuan negara mendapatkan bekalan makanan, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan pengeluar tempatan dan keupayaan negara mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Jelasnya, amat penting untuk semua pihak meneliti dapatan data dan statistik yang dikeluarkan DOSM berkaitan keterjaminan makanan seperti dilaporkan.

Pada 6 Julai lalu, media melaporkan IKMM mencatatkan peningkatan kepada 61.5 mata pada tahun 2024 berbanding 54.5 mata pada tahun sebelumnya, menunjukkan keterjaminan makanan negara berada pada tahap prestasi yang baik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh prestasi lebih baik dalam dimensi kebolehcapaian dan kestabilan makanan.