PERSIAPAN Norway menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang England sedikit terganggu apabila skuad itu terpaksa berpindah hotel selepas mendapati keadaan penginapan yang disediakan tidak memenuhi keperluan pasukan.
Anak buah Stale Solbakken Skuad pada awalnya menginap di Hotel The Dalmar di Fort Lauderdale sejurus tiba di Miami, namun hanya selepas semalam berada di situ, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke hotel lain.
Laporan media Norway mendakwa beberapa bilik pemain berbau asap rokok, berkulat dan tidak dibersihkan dengan sempurna.
Keadaan itu ditambah pula dengan bunyi bising daripada tapak pembinaan berhampiran serta lokasi hotel yang terletak di tepi jalan raya yang sibuk.
Ketua delegasi Norway, Truls Daehli berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan pemain dapat mengekalkan tumpuan sepenuhnya menjelang perlawanan paling penting dalam sejarah bola sepak negara itu.
"Kami menukar hotel kerana terdapat beberapa perkara di lokasi asal yang kami rasakan boleh diperbaiki. Kami sudah memasuki minggu keenam kejohanan dan akan berada di sini selama seminggu lagi.
"Perlawanan yang bakal dihadapi adalah yang terbesar pernah kami lalui. Setakat ini kami berjaya mengelakkan tekanan akibat terlalu lama berkampung bersama, jadi kami tidak mahu mengambil risiko berdepan situasi yang boleh menjejaskan persiapan pasukan," katanya kepada NRK.
Daehli mengesahkan terdapat beberapa isu membabitkan keadaan bilik, namun menjelaskan ia berjaya ditangani dengan segera.
"Memang benar ada beberapa masalah tetapi ia diselesaikan serta-merta. Apa yang lebih penting ialah suasana keseluruhan hotel kerana kami memerlukan ruang dan privasi untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pasukan," katanya.
Beliau turut memuji kerjasama FIFA yang membolehkan proses perpindahan berjalan lancar.
Menurutnya, badan induk bola sepak dunia itu terus menanggung kos 50 bilik, kawalan keselamatan serta pengangkutan seperti di hotel rasmi kejohanan, manakala Persatuan Bolasepak Norway menampung perbezaan kos selepas memilih hotel yang lebih mahal.
Norway dijadual berdepan England dalam aksi suku akhir pada Ahad (5 pagi waktu Malaysia) dengan misi memburu slot ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.