KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penyeludupan migran menjadikan kediaman mewah di ibu negara sebagai rumah transit sementara terbongkar selepas serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Serbuan ke atas dua premis kediaman mewah itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis selain enam lagi lelaki dan dua wanita warga negara sama berusia antara 23 hingga 43 tahun.
Zakaria berkata, individu lain ditahan pula gagal mengemukakan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi turut merampas tiga pasport Bangladesh milik individu lain selain wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan," katanya.
Belial berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum warga asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dihantar ke lokasi yang ingin dituju.
"Premis berkenaan dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran diselesaikan.
"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap individu yang menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya.
Zakaria berkata, kedua-dua penjaga premis warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Pada hari sama, JIM turut melaksanakan satu lagi operasi khas di sekitar Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Gombak di Selangor bermula kira-kira jam 5.30 petang.
"Operasi hasil risikan selama sebulan itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter selain empat lelaki warga India berusia antara 18 hingga 48 tahun," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada warga India yang ditahan pernah disenarai hitam oleh JIM dipercayai memasuki semula negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Turut dirampas dalam operasi itu ialah dua telefon bimbit, empat pasport India serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket membawa masuk warga asing terutama dari India ke negara ini melalui laluan tidak sah sebelum mereka diambil oleh transporter di hentian bas untuk dihantar ke destinasi ditetapkan.
"Setiap migran dipercayai dikenakan bayaran sebanyak RM6,000 seorang dan kegiatan ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu," katanya.
Zakaria berkata, lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"JIM komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran serta mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara," ujarnya.