MASJID TANAH - Seorang guru dan tiga pelajar sekolah menengah cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Solok Duku, di sini, ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai kejohanan ping pong peringkat negeri.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.24 petang Rabu, guru pengiring berusia 24 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kereta Proton Saga.
Sementara itu, dua lagi pelajar berusia 15 dan 16 tahun masing-masing mengalami patah kaki dan kecederaan akibat hentakan dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah Proton Saga dan sebuah lori.
"Empat mangsa menaiki kereta tersebut mengalami kecederaan manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, operasi yang membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah tamat sepenuhnya pada jam 4.38 petang selepas anggota memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, Zulkhairani berkata, operasi menyelamat itu turut dicemari tindakan tidak bertanggungjawab apabila terdapat individu dipercayai cuba mengambil wang dan barangan peribadi milik guru yang cedera.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang perbuatan itu sebelum semua barangan peribadi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.