SSDU, EER Digital meterai kerjasama teroka projek rintis pusat data AI mampan Selangor

Iklan
Gaddafi (dua, kiri) ketika majlis menandatangani MoC dengan EER Digital Sdn Bhd dalam usaha meneroka pembangunan Projek Rintis Pusat Data Mampan bagi negeri Selangor di ibu negara pada Rabu.

SMART Selangor Delivery Unit (SSDU Innovations Sdn Bhd) menandatangani Memorandum of Collaboration (MoC) dengan EER Digital Sdn Bhd dalam usaha meneroka pembangunan projek rintis pusat data mampan bagi negeri Selangor.

Usaha sama tersebut juga sebagai langkah awal dalam menilai potensi pembangunan infrastruktur sedia AI dengan mengambil kira kemampanan, tadbir urus dan nilai awam sejak peringkat reka bentuk.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif SSDU, Gaddafi Musli berkata, ia juga menandakan permulaan penerokaan SSDU terhadap infrastruktur AI berketumpatan tinggi yang mampan, termasuk teknologi penyejukan rendaman GPU.

"Kerjasama ini merupakan langkah pertama negeri Selangor menerusi SSDU untuk mengkaji bagaimana infrastruktur AI berketumpatan tinggi boleh dibangunkan secara bertanggungjawab, dengan kemampanan, tadbir urus dan nilai awam diterapkan dalam reka bentuknya sejak dari peringkat awal.

Iklan

"Peranan SSDU adalah untuk menyelaras, menilai dan menghimpunkan pemegang taruh yang tepat supaya Selangor dapat membuat keputusan terbaik dalam sebarang perancangan ke hadapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, berlangsung majlis menandatangani MoC berkenaan di Kuala Lumpur, sempena AIBP Conference & Exhibition Malaysia 2026, sebuah platform serantau yang menghimpunkan pemimpin korporat, kerajaan dan teknologi untuk membincangkan transformasi digital, penerimaan AI, keselamatan siber serta inovasi berteraskan ESG.

Iklan

Projek rintis yang dicadangkan akan mengkaji bagaimana penyejukan rendaman dapat menyokong beban kerja AI yang intensif-GPU.

Dalam pada itu, Gaddafi menegaskan, MoC tersebut hanya bersifat penerokaan dan tidak membawa maksud keputusan pelaksanaan berskala penuh atau pemberian perolehan.

"Sebarang pelaksanaan pada masa hadapan akan tetap tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan, keperluan tadbir urus dan proses yang berkaitan.

"Kerjasama ini selari dengan aspirasi lebih luas Selangor untuk memperkukuh ekosistem digital dan AI negeri melalui inovasi bertanggungjawab, penyelarasan di peringkat negeri dan perancangan infrastruktur yang mampan," katanya.

Sementara itu, SSDU dan EER Digital dalam kenyataan bersama menjelaskan, Moc tersebut membolehkan SSDU dan EER Digital meneroka kebolehlaksanaan, keperluan teknikal, metrik kemampanan serta rangka kerja tadbir urus bagi sebuah projek rintis yang berpotensi menyokong infrastruktur pengkomputeran sedia-AI, sambil mengurangkan tekanan alam sekitar yang biasanya dikaitkan dengan operasi pusat data berketumpatan tinggi.

Katanya, projek rintis yang dicadangkan akan mengkaji bagaimana penyejukan rendaman dapat menyokong beban kerja AI yang intensif-GPU dengan tumpuan kepada kecekapan tenaga, kesan penggunaan air, keperluan ruang, keselamatan, kesediaan operasi, keselamatan siber, kes penggunaan sektor awam dan kebolehskalaan jangka panjang.

Kedua-dua pihak dijangka menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal bersama selepas majlis ini bagi membangunkan pelan tindakan, merangkumi skop projek rintis, ujian teknikal, pengukuran kemampanan dan struktur tadbir urus.