PUTRAJAYA - Harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel tidak berubah bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit RON97 kekal RM4 seliter, manakala RON95 dan diesel bagi pasaran Semenanjung Malaysia masing-masing RM3.37 seliter serta RM3.97 seliter.
Menurut MOF, harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu, selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bagi harga petroleum bersubsidi pula, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter manakala BUDI Diesel pada RM2.10.
Dalam tempoh sama, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama.
"Namun begitu, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam (Selasa) menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.
"Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga," katanya pada Rabu.
Tambah MOF, bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi.
"Rakyat diminta agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
"Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi," katanya lagi.