KKDW pacu pembangunan desa bertaraf global

Iklan
Ahmad Zahid menyaksikan penyerahan agihan keuntungan boleh agih Interim 1/ 2026 Felcra Berhad daripada Felcra kepada wakil peserta.

Ahmad Zahid menyaksikan penyerahan agihan keuntungan boleh agih Interim 1/ 2026 Felcra Berhad daripada Felcra kepada wakil peserta.

JENGKA - Agenda Ekonomi Desa Negara perlu menjadi pelan tindakan utama bagi merintis lembaran baharu yang membolehkan pembangunan luar bandar berkembang seiring dengan agenda global.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan luar bandar tidak lagi boleh dilihat sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal atau keperluan tempatan, sebaliknya perlu diperkukuhkan sebagai asas untuk menjadikan Desa Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, Agenda Ekonomi Desa Nasional yang diperkenalkan sebelum ini perlu menjadi pelan tindakan besar bagi melakar kejayaan baharu pembangunan desa negara melalui pendekatan glokal, iaitu berakar kukuh di desa tetapi berani menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

Iklan

"Pembangunan desa perlu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi ekosistem lengkap yang merangkumi ekonomi, keusahawanan, pendidikan, modal insan, infrastruktur, pelaburan, teknologi, pelancongan, koperasi dan kesejahteraan komuniti.

"Pendekatan itu akan memastikan Desa Malaysia bukan sahaja kukuh di dalam negara, malah mampu memimpin perubahan baharu dalam pembangunan ekonomi negara," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, agenda global tidak boleh dilaksanakan jika pasak pembangunan desa di dalam negara tidak diperkukuhkan.

"Kejayaan sebenar pembangunan diukur melalui kemampuan kita melahirkan masyarakat desa yang lebih berilmu, lebih berkemahiran, lebih berdaya saing dan lebih yakin mencorakkan masa depan mereka sendiri," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di sini pada Isnin.

Agenda serantau dan global Ujarnya lagi, Malaysia mencipta sejarah apabila buat julung kalinya meraikan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia sebagai pengiktirafan kepada seluruh pemegang taruh desa termasuk petani, pekebun kecil, peneroka, nelayan, usahawan desa, wanita, belia dan pemimpin komuniti.

Beliau berkata, komuniti merupakan nadi pembangunan desa, Malaysia perlu membawa suara, pengalaman dan model pembangunan desa negara ke pentas antarabangsa.

"Pembangunan luar bandar tidak lagi boleh dilihat dalam kerangka domestik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada agenda serantau dan global.

"Produk dan jenama Desa Malaysia mesti berani menembusi pasaran dunia, manakala usahawan desa pula perlu menjadipemain ekonomi serantau," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi memperkukuh ekonomi desa.

Katanya, usaha itu berjaya melahirkan lebih 7,000 usahawan baharu, mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan serta mencatat nilai jualan melebihi RM1.77 bilion.

Menurutnya, melalui program Gate to Global pula, produk desa berjaya menembusi pasaran luar negara dengan transaksi jualan mencecah RM1.11 bilion sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam aspek pembangunan insan, beliau berkata, lebih 50,000 hu az cilik berjaya dilahirkan, selain peluasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, penyediaan tadika autisme, pelaksanaan kelas pintar di Tabika Kemas dan pengukuhan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara yang telah melahirkan lebih 800,000 pelajar berkemahiran.

Ujarnya lagi, hampir 500 pelajar Orang Asli turut berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, sepanjang RMK 12 juga, hampir 5,000 kilometer (km) jalan desa dinaik taraf, lebih 7,000 rumah menerima bekalan elektrik, lebih 10,000 rumah menikmati bekalan air, manakala hampir 10,000 rumah dibina dan dibaik pulih bagi memberi manfaat kepada hampir 40,000 penduduk luar bandar.

Beliau turut memaklumkan bahawa di Jengka sahaja, KKDW memperuntukkan RM135.3 juta bagi projek menaik taraf jalan yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,100 penduduk termasuk 48 keluarga Orang Asli.

Kejayaan pembangunan desa

Selain itu, katanya, peserta FELCRA Berhad akan menerima Agihan Keuntungan Belum Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah lebih RM126.9 juta yang disalurkan secara berperingkat kepada lebih 72,000 peserta melibatkan 747 projek yang mencatatkan keuntungan.

Beliau menegaskan kejayaan pembangunan desa tidak boleh digerakkan secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua kementerian dan agensi melalui penyelarasan di bawah High Level Committee Pembangunan Desa.

Katanya, pendekata itu telah membantu menurunkan kadar kemiskinan luar bandar daripada 12 peratus pada 2022 kepada 9.9 peratus pada 2024.

"Saya amat yakin, jika Desa Malaysia disusun sebagai satu agenda nasional, hasilnya akan lebih dirasai oleh rakyat. Asasnya sudah jelas, rekodnya sudah ada dan ekosistemnya sedang kita bina," katanya.

Kemenangan bermakna

MOHD FAZRUL

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Murni, Kerdau, Temerloh, Mohammad Fazrul Ahmad berkata, kemenangan sempena Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM) 2025 disifatkan sebagai hasil usaha berterusan, semangat gotong-royong dan kesepakatan seluruh komuniti dalam membangunkan kampung.

Menurutnya, pengiktirafan itu amat bermakna buat seluruh warga kampung, malah mereka menerima juga menerima Anugerah Pengurusan Mampan dan Anugerah Pro ling Komuniti Desa dan kampung itu dipilih sebagai johan keseluruhan ADM 2025 membawa pulang hadiah kemenangan RM100,000.

"Saya dan pihak kepimpinan sangat teruja serta terharu dengan anugerah yang kami terima hari ini," katanya.

SAPINAH

Sementara itu, Setiausaha JPKK Kampung Hutan Percha, Sapinah Sagap, 42 menyifatkan kemenangan sebagai naib johan ADM 2025 yang membawa pulang hadiah RM70,000 itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka.

"Kejayaan itu juga diharap dapat menjadi contoh kepada kampung-kampung berhampiran selain membuka peluang untuk Kampung Hutan Percha menyertai pertandingan itu lagi pada masa hadapan,” katanya.

HUVANG

Bagi Ketua Kampung Uma Daro, Huvang Liah, 59 menyifatkan anugerah tempat ketiga yang dimenangi memberi makna tersendiri dan penduduk.

Beliau amat gembira dan bersyukur atas kejayaan di luar jangkaan itu sekaligus membawa pulang 'buah tangan' RM50,000. “Perjalanan jauh dari Belaga, Sarawak ternyata berbaloi apabila kampung mereka berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan dalam Anugerah Desa Madani 2025,” katanya.