SEPANG – Program Umrah Tetamu Raja Salman bukan sekadar membuka peluang kepada 33 rakyat Malaysia menunaikan ibadah di Tanah Suci, malah menjadi medium memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi menerusi kerjasama serta diplomasi rakyat.
Pegawai Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Fadlan Mohd Othman berkata, program berkenaan merupakan antara usaha kerajaan Arab Saudi untuk terus memelihara hubungan baik dengan negara-negara sahabat, termasuk Malaysia.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi juga tidak meletakkan sebarang syarat atau mengharapkan balasan daripada peserta yang menerima tajaan tersebut.
"Program ini adalah satu pemberian yang baik daripada Raja Salman kepada kerajaan dan rakyat Malaysia semata-mata untuk mengukuhkan hubungan antara dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis pelepasan Program Umrah Tetamu Raja Salman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Rabu.
Ujarnya, peserta yang terpilih terdiri daripada pelbagai latar belakang dipilih menyertai program berkenaan berdasarkan sumbangan mereka dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Peserta Malaysia bukan sahaja akan menunaikan ibadah umrah, malah akan menyertai pelbagai pengisian termasuk pertemuan bersama Imam Masjidil Haram dan Imam Masjid Nabawi.
"Mereka juga akan berhimpun bersama kira-kira 1,000 peserta dari pelbagai negara, sekali gus menjadi platform untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan lebih erat antara peserta dari seluruh dunia," jelas Fadlan.
Jun lalu media melaporkan, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang juga Penjaga Dua Masjid Suci meluluskan kedatangan 1,000 jemaah umrah lelaki dan wanita dari seluruh dunia atas perbelanjaan peribadi beliau di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan. Kumpulan pertama di bawah program itu, yang akan dijalankan dalam empat fasa sepanjang tahun 1448 Hijrah, turut terdiri daripada 250 orang dari 16 negara Asia termasuk Indonesia, Timor-Leste, Filipina, Malaysia, Kemboja, Thailand, Vietnam, Laos, Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Mongolia.
Program mencerminkan dedikasi kepimpinan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan menggariskan misi kemanusiaan serta keagamaan Kerajaan Arab Saudi untuk membina jambatan komunikasi dengan cendiakawan, ulama dan tokoh berpengaruh dalam seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, Ketua Delegasi Program Umrah Tetamu Raja Salman, Datuk Khalidi Ibrahim menyifatkan pemilihan sebagai tetamu Raja Salman merupakan satu penghormatan besar dan rezeki yang amat disyukuri.
Mufti Kerajaan Sarawak itu berkata, beliau percaya program berkenaan mampu merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, khususnya dalam memperkasa usaha dakwah.
"Sebagai tetamu Khadim al-Haramain al-Syarifain, ia merupakan satu penghargaan yang sangat besar kepada kami dan mudah-mudahan akan terus merapatkan hubungan antara kerajaan Arab Saudi dengan kerajaan Malaysia dalam memperkasakan usaha dakwah," katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr Faisal Ahmad Shah berkata, jemputan tersebut merupakan peluang yang amat bermakna kerana bukan semua orang berpeluang menjadi Tetamu Diraja Raja Salman.
Beliau berkata, program berkenaan turut mencerminkan keprihatinan Raja Salman terhadap umat Islam di seluruh dunia di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Pada saya, ini menunjukkan keprihatinan Raja Salman dan kerajaan Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia, selain mengeratkan hubungan persahabatan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi," jelas beliau.
Kesemua peserta program itu berlepas ke Madinah menerusi penerbangan Saudia Airlines jam 5.35 petang.
Ibadah umrah pula akan dibimbing oleh mursyid, Muhammad Hafiz Salleh.