KUANTAN – “Kalau kita tahu ada orang dalam rumah, mungkin kita boleh panggil penduduk untuk bantu.”
Demikian kata saksi yang juga anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Mohamad Azrizal Yusop, 36, selepas tidak menyangka terdapat mangsa di dalam sebuah rumah teres yang terbakar di Taman Sri Mahkota Jaya di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah berkenaan oleh pasukan bomba.
Menurut Mohamad Azrizal, kejadian itu disedari selepas menerima makluman daripada jiran mengenai sebuah rumah mengeluarkan asap, manakala pemilik rumah keluar ke klinik.
Bercerita lanjut, Mohamad Azrizal berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kebakaran itu, dia bergegas ke rumah berkenaan untuk meninjau keadaan sebelum mendapati asap tebal keluar dari bahagian belakang kediaman.
“Mula-mula saya pergi ke depan rumah, saya tengok tak ada asap. Kemudian saya pusing pergi belakang, saya tengok asap tebal keluar melalui tingkap dapur, namun tidak mendengar sebarang suara jeritan atau meminta tolong.
“Saya segera menghubungi bomba dan terkejut apabila mendapat berita ada mangsa yang terlibat selepas kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: OKU maut dalam kebakaran, ditemukan terduduk atas katil