KANGAR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mengisytiharkan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN pada Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan untuk membatalkan saman berkenaan tanpa sebarang perintah kos.
Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan bahawa Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan keistimewaan kepada Speaker DUN, sekali gus menjadikan kesahihan keputusannya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Mahkamah turut memutuskan keputusan Speaker menggunakan budi bicara di bawah Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis adalah sah.
Selain itu, mahkamah berpandangan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri urusan DUN selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, selagi kuasa tersebut dilaksanakan dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.
Saman itu difailkan tiga bekas ADUN, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang mencabar tindakan Speaker DUN Perlis mengisytiharkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi masing-masing.
Pada Februari lalu, Rus'sele memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula yang dikemukakan ketiga-tiga bekas wakil rakyat berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, pada 2 Januari lalu, ketiga-tiga bekas ADUN terbabit memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN Perlis susulan pengisytiharan kekosongan luar jangka kerusi yang mereka wakili.
Pada 25 Disember 2025, Rus'sele mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Guar Sanji dan Bintong selepas keahlian tiga wakil rakyat Pas itu terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Keputusan itu dibuat susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 24 Disember 2025 yang memaklumkan keahlian ketiga-tiga ADUN berkenaan terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
Speaker DUN Perlis diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Dr Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu, manakala tiga bekas ADUN berkenaan diwakili Mohd Jamil Yaacob.
Wan Rohimi semasa ditemui ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan pihaknya untuk membatalkan kes induk plaintif.
Menurutnya, kuasa Speaker tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selagi mana bertindak mengikut ruang lingkup Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
"Sekarang kita serahkan kepada pihak plaintif sama ada mereka mahu menggunakan tempoh 30 hari bermula hari ini untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Rus'sele pula berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada barisan peguam yang mewakilinya sepanjang perbicaraan.
Beliau turut berharap keputusan mahkamah itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak.