OKU maut dalam kebakaran, ditemukan terduduk atas katil

Iklan
Pasukan bomba ketika melakukan pemadaman api menemui mangsa dalam keadaan terduduk di atas katil di ruang tamu rumah itu. Foto Bomba.

KUANTAN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut dalam keadaan terduduk di atas katil selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Sri Mahkota Jaya di sini pada Rabu.

Mangsa Vithaliggam, 67, ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ruang tamu rumah berkenaan ketika operasi pemadaman dijalankan.

Iklan
Iklan

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas tiba di lokasi pada jam 9.40 pagi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira sembilan minit sebelum itu.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres berukuran 18 x 60 kaki dengan api memusnahkan ruang tamu seluas 18 x 10 kaki.

Iklan

“Ketika kerja pemadaman dijalankan, pihak kami menemukan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di atas katil dalam keadaan terduduk.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kebakaran pada tubuh mangsa dan kematian dipercayai berpunca daripada terhidu asap tebal.

Iklan

“Kami mendapati tiada kesan terbakar pada badan mangsa dan berkemungkinan dia meninggal dunia akibat terhidu asap.

“Ketika anggota memasuki rumah untuk menjalankan kerja pemadaman, keadaan di dalam kediaman dipenuhi asap tebal. Selepas bukaan dibuat di bahagian belakang rumah dan asap berjaya dikeluarkan, barulah mangsa dapat dilihat,” katanya.

Pasukan bomba sedang melakukan pemadaman api di sebuah rumah teres di Taman Sri Mahkota Jaya pada Rabu.

Mohd Razam berkata, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri sebelum ditemukan di atas katil yang ditempatkan berhampiran ruang tamu.

“Dia bukan berada dalam keadaan biasa di atas katil, sebaliknya terdapat tanda-tanda bahawa mangsa cuba bangun.

“Kemungkinan mangsa cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun keadaan asap yang tebal menyukarkan pergerakannya,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Razam berkata, ketika kejadian mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan manakala adik perempuannya bersama suami berada di hospital bagi urusan perubatan.

“Rumah berkunci di bahagian hadapan dan tingkap, menyebabkan anggota terpaksa memecahkan pintu utama untuk masuk ke dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dipercayai berkaitan masalah pendawaian elektrik, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pasukan forensik bomba, manakala jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.