ASTRO memperkenalkan Astro X3, penawaran baharu berasaskan penstriman yang tidak memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak bagi memudahkan pelanggan mengakses kandungan hiburan dan sukan melalui aplikasi Astro.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, Astro X3 mencerminkan komitmen syarikat untuk menjadikan perkhidmatannya lebih mudah diakses selaras dengan perubahan tabiat tontonan pengguna.
"Pelanggan hanya perlu mendaftar melalui telefon pintar sebelum boleh terus menstrim kandungan kegemaran mereka dalam masa beberapa minit.
"Tanpa dekoder, tanpa pemasangan dan mulai Disember 2026, tanpa kontrak, Astro X3 memberikan pelanggan lebih kebebasan dan fleksibiliti untuk menikmati Astro mengikut keperluan mereka sendiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Astro X3 dibangunkan khusus untuk penonton yang mengutamakan penstriman dengan akses menerusi aplikasi Astro di televisyen pintar (Smart TV) yang serasi serta Astro GO.
Katanya, pelanggan turut boleh menikmati pelbagai kandungan termasuk Astro Originals, siaran langsung Liga Perdana, Liga Juara-Juara AFC dan UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa.
Mulai 20 Julai ini, Astro menawarkan dua pelan kontrak selama 12 bulan iaitu Astro X3: Entertainment 12 Pack pada harga RM39.99 sebulan dan Astro X3: Sports 12 Pack pada RM89.99 sebulan.
Bagi pelanggan yang mahukan lebih fleksibiliti, Astro akan memperkenalkan pelan tanpa kontrak bermula Disember depan dengan pakej Entertainment daripada RM59.99 sebulan dan Sports daripada RM109.99 sebulan, selain membolehkan pelanggan melanggan, menunda atau membatalkan perkhidmatan pada bila-bila masa.
Dalam perkembangan sama, Astro turut mengumumkan barisan kandungan hiburan baharu yang bakal menemui penonton termasuk filem Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk.
Selain itu, beberapa drama baharu seperti Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara dan Marmadesam turut disenaraikan.
Astro juga akan terus menampilkan program siaran langsung seperti Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti bagi memperluaskan lagi pilihan hiburan kepada rakyat Malaysia.