IPOH - Seorang pengurus kilang di Afrika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan menipu rekod pengeluaran minyak sawit mentah sebuah syarikat dalam kejadian dua tahun lalu.
Tertuduh, T Logeswaran, 39, didakwa secara tidak jujur menyembunyikan kedudukan stok sebenar minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau dengan mengemukakan rekod data pengeluaran minyak sawit mentah dalam sistem berjumlah 741.618 metrik tan dengan niat memperdayakan syarikat supaya menerima dan menggunakan rekod stok berkenaan sebagai kedudukan sebenar.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kuala Lumpur Kepong Berhad, Wisma Taiko dalam daerah Ipoh di antara 14 Mac hingga 21 Jun 2024.
Perbuatan terbabit merupakan kesalahan menipu yang boleh dihukum di bawah seksyen 417 Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Norizah Riduan selepas pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin kemudiannya memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin terdiri daripada ahli keluarga tertuduh bersama dua syarat tambahan.
Dua syarat tambahan dikemukakan itu ialah tertuduh diminta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes tersebut selesai.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Kiranjeet Kaur Sidhu memohon agar pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana ia sangat diperlukan untuk meneruskan pekerjaan di Afrika selain tidak mampu untuk melapor diri di balai polis disebabkan berada di luar negara.
Katanya, selain itu Logeswaran juga perlu menanggung isteri, dua orang anak yang berusia dua dan lima tahun, selain ibu bapanya yang sudah uzur.
“Anak sulung tertuduh telah didiagnosis menghidap gangguan spektrum autisme, manakala anak bongsunya yang dilahirkan pramatang mengalami pelbagai masalah kesihatan sehingga memerlukan perbelanjaan rawatan kira-kira RM2,500 sebulan bagi kedua-dua anak tersebut.
"Anak guam saya perlu kembali bekerja di Afrika bagi menyara keluarganya dan menampung kos rawatan anak-anaknya.
"Dia juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan. Pada 16 Disember 2024, dia telah hadir ke Balai Polis Sungai Senam. Semalam dia telah pulang ke Malaysia secara sukarela selepas dimaklumkan pihak polis memerlukan keterangan lanjut," katanya.
Kiranjeet berkata, Logeswaran ketika ini berada di Malaysia selepas mengambil cuti tahunan dan akan berdepan masalah serius sekiranya pasportnya disita kerana ia akan menjejaskan pekerjaannya di luar negara.
Beliau memberi jaminan anak guamnya bukan seorang yang berisiko melarikan diri kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat dan sentiasa bersedia hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.
Sementara itu mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Tarikh 6 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.