JASIN - Dua bayi lelaki antara 10 mangsa yang terpaksa meredah banjir selepas kediaman mereka dinaiki air di Batu 13, Kampung Asam Kumbang, Jalan Huzi Bemban di sini pada pagi Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.03 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi pada jam 8.18 pagi, pasukan mendapati banjir kilat akibat hujan lebat berterusan menyebabkan paras air meningkat hingga 0.5 meter dan menjejaskan 10 rumah di kawasan tersebut.
“Seramai 10 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat membabitkan dua warga emas lelaki, dua warga emas perempuan, dua bayi lelaki dan empat wanita dewasa.
“Pasukan kemudian menjalankan pemantauan di kawasan panas banjir selepas paras air mula surut bagi memastikan tiada sebarang risiko atau bahaya lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Azlan Ramli itu berakhir sepenuhnya pada jam 10.52 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Menurutnya, operasi berdepan sedikit kesukaran berikutan kesesakan lalu lintas menuju ke lokasi kejadian.