RESORTS World Genting (RWG) terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara destinasi resort bersepadu terkemuka di Asia Pasifik apabila meraih pengiktirafan dalam Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific 2026.
Pengiktirafan menerusi kategori Best Integrated Resorts itu mencerminkan komitmen berterusan RWG dalam menawarkan pengalaman bertaraf dunia kepada pengunjung melalui gabungan penginapan mewah, hiburan, sajian gastronomi serta pelbagai tarikan gaya hidup.
RWG dalam kenyataan memaklumkan, resort bersepadu itu terus menjadi pilihan jutaan pelancong setiap tahun dengan menyediakan pelbagai pengalaman yang memenuhi keperluan pengunjung daripada semua peringkat usia.
"Anugerah tahunan Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific mengiktiraf kecemerlangan industri pelancongan dan hospitaliti di rantau ini berdasarkan undian pembaca serta pengembara.
"Ia diberikan kepada destinasi dan hartanah hospitaliti yang secara konsisten menawarkan perkhidmatan cemerlang, pengalaman berkualiti serta standard hospitaliti bertaraf dunia," menurut kenyataan itu.
Selain RWG, hotel mewahnya, Crockfords, turut menerima pengiktirafan dalam kategori Best Beach, Island + Upcountry Resorts.
Pengiktirafan itu mengiktiraf kecemerlangan Crockfords dalam menawarkan pengalaman penginapan eksklusif menerusi perkhidmatan diperibadikan, reka bentuk elegan serta layanan premium kepada setiap tetamu.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut yang mencerminkan dedikasi seluruh warga kerja resort berkenaan.
"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada para pembaca Travel + Leisure sekali lagi.
"Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi, komitmen dan semangat seluruh warga kerja kami dalam memastikan setiap tetamu menikmati pengalaman yang luar biasa di Resorts World Genting.
"Kami akan terus mempertingkatkan penawaran serta mencipta pengalaman yang bermakna bagi mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi resort bersepadu terkemuka di rantau Asia Pasifik," katanya.
Beliau berkata, RWG akan terus menambah baik tarikan, kemudahan hospitaliti dan pengalaman tetamu bagi mengekalkan standard perkhidmatan yang menjadi kekuatan resort berkenaan.
Menurutnya, pengiktirafan terbaharu itu mengukuhkan lagi kedudukan RWG sebagai antara destinasi resort bersepadu terkemuka di Asia Pasifik, selaras dengan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam setiap aspek pengalaman pelanggan.