Naikkan gaji tanpa bebankan fiskal negara

Iklan
THE FUTURE berpandangan sudah tiba masanya pendekatan baharu diperkenalkan bagi meningkatkan gaji pekerja secara mampan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara atau keupayaan syarikat untuk terus berkembang. Foto hiasan

MELIHAT keperluan Malaysia untuk melaksanakan dasar ekonomi yang lebih berani, pragmatik dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara, Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE) mencadangkan satu kerangka dasar baharu dikenali sebagai Productivity-Linked Tax Rebalancing Model.

Model ini bertujuan meningkatkan gaji pekerja, memperkukuh daya saing syarikat dan pada masa sama mengekalkan kestabilan hasil kerajaan.

Iklan
Iklan

THE FUTURE berpandangan sudah tiba masanya pendekatan baharu diperkenalkan bagi meningkatkan gaji pekerja secara mampan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara atau keupayaan syarikat untuk terus berkembang.

Cadangan ini tidak bergantung kepada arahan pentadbiran semata-mata, sebaliknya melalui penyusunan semula struktur percukaian negara.

Iklan

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengurangkan cukai korporat secara bersasar, serta memastikan penjimatan cukai yang dinikmati syarikat disalurkan kepada pekerja melalui kenaikan gaji berasaskan produktiviti.

Hasil dapatan simulasi Productivity-Linked Tax Rebalancing Model.

Iklan

Analisis awal THE FUTURE menunjukkan pemansuhan GST dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas 2018 telah mengecilkan asas percukaian negara. Walaupun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus berkembang, kutipan SST tidak meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

Sebaliknya, unjuran menunjukkan bahawa kutipan cukai tidak langsung negara berpotensi berkembang dengan lebih kukuh sekiranya GST diteruskan.

Berdasarkan simulasi THE FUTURE, kutipan SST bagi tahun 2025 dianggarkan sekitar RM46.7 bilion, manakala kutipan GST sekiranya diteruskan boleh mencapai kira-kira RM74 bilion.

Ini mewujudkan potensi tambahan hasil fiskal sebanyak RM27.2 bilion yang boleh digunakan untuk menampung sebahagian kehilangan hasil akibat pengurangan cukai korporat.

Analisis juga menunjukkan bahawa pengurangan 15 peratus kutipan cukai korporat pada tahun 2025 boleh menyebabkan kehilangan hasil sekitar RM21.7 bilion.

Namun, apabila digabungkan dengan tambahan hasil GST serta peningkatan kutipan GST hasil pertambahan penggunaan akibat kenaikan gaji, kerajaan masih berpotensi mencatat lebihan fiskal sekitar RM6.5 bilion.

Dapatan ini menunjukkan bahawa reformasi cukai yang dirancang dengan baik mampu mewujudkan situasi menang-menang. Syarikat memperoleh kelegaan cukai untuk meningkatkan daya saing, pekerja menerima gaji yang lebih tinggi, manakala kerajaan terus mengekalkan ruang fiskal yang mencukupi.

Bagi senario pengurangan 20 peratus cukai korporat pula, simulasi menunjukkan kedudukan fiskal kerajaan berada hampir pada tahap neutral.

Ini bermakna GST berpotensi menjadi instrumen pengimbang kepada pengurangan cukai korporat, khususnya jika terdapat mekanisme yang memastikan penjimatan cukai benar-benar dipindahkan kepada pekerja melalui kenaikan gaji berasaskan produktiviti.

Dari sudut pekerja, manfaat model ini lebih ketara. Kehilangan hasil cukai korporat tidak dilihat semata-mata sebagai pengurangan hasil kerajaan, sebaliknya sebagai potensi tambahan pendapatan kepada pekerja.

Berdasarkan simulasi tahun 2025, pengurangan 15 peratus cukai korporat berpotensi mewujudkan tambahan gaji pekerja sebanyak RM21.7 bilion, manakala pengurangan 20 peratus boleh menghasilkan hampir RM29 bilion tambahan gaji.

Hasil dapatan simulasi Productivity-Linked Tax Rebalancing Model.

THE FUTURE turut menegaskan Malaysia tidak boleh terus bergantung secara berlebihan kepada cukai korporat sebagai sumber hasil utama negara.

Perbandingan dengan Singapura menunjukkan negara tersebut memiliki dua sumber hasil yang lebih responsif kepada pertumbuhan ekonomi, iaitu GST dan cukai korporat.

Sebaliknya, pemansuhan GST selepas 2018 menyebabkan Malaysia kehilangan salah satu sumber hasil yang lebih luas dan stabil.

Bagaimanapun, pengenalan semula GST tidak boleh dilaksanakan menggunakan pendekatan lama atau membebankan rakyat. GST perlu direka semula supaya lebih adil, telus dan mampu melindungi golongan rentan.

Sebahagian hasil GST juga perlu dikembalikan kepada rakyat melalui bantuan bersasar, pemindahan tunai, subsidi yang lebih tepat serta sokongan kepada isi rumah B40 dan M40 berpendapatan rendah.

Pada masa sama, pengurangan cukai korporat tidak boleh diberikan tanpa syarat. Sebarang penjimatan cukai yang diterima syarikat perlu dikaitkan dengan komitmen meningkatkan gaji, produktiviti, latihan pekerja dan pelaburan teknologi.

Dengan pendekatan ini, manfaat reformasi cukai akan sampai kepada pekerja dalam bentuk pendapatan yang lebih tinggi dan lebih sejajar dengan peningkatan produktiviti.

Sehubungan itu, THE FUTURE mencadangkan pelaksanaan Productivity-Linked Tax Rebalancing Model melalui empat mekanisme utama.

Pertama, mengurangkan cukai korporat secara bersasar bagi meningkatkan daya saing syarikat, mengurangkan kos perniagaan dan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.

Kedua, memastikan penjimatan cukai disalurkan kepada kenaikan gaji berasaskan produktiviti melalui instrumen seperti wage credit, sistem gaji berasaskan produktiviti, latihan kemahiran dan skim perkongsian produktiviti.

Ketiga, memperkenalkan semula GST dengan perlindungan sosial yang jelas bagi mengimbangi kehilangan hasil kerajaan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Keempat, menggunakan sebahagian hasil GST untuk bantuan bersasar kepada isi rumah B40 dan M40 berpendapatan rendah bagi mengurangkan kesan regresif cukai penggunaan.

Secara keseluruhannya, Productivity-Linked Tax Rebalancing Model menawarkan pendekatan yang lebih seimbang untuk membina ekonomi berpendapatan tinggi.

Kerajaan dapat mengekalkan ruang fiskal, syarikat menikmati kelegaan cukai untuk meningkatkan daya saing, manakala pekerja menerima kenaikan gaji yang lebih berkait rapat dengan produktiviti.