PEMEROLEHAN 100 peratus kepentingan penyertaan dalam Blok 19 dan Blok 20 di perairan luar pesisir Turkmenistan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini membawa makna besar kepada kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga serantau dan global.
Ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, aset baharu di Laut Caspian itu mengukuhkan lagi peranan Petronas yang telah 30 tahun berada di Turkmenistan dalam menjamin akses sumber tenaga.
Dalam konteks lebih luas, pencapaian itu bukan sekadar pelaburan dalam sektor minyak dan gas, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta kerjasama penyelidikan yang boleh memperkukuh daya saing sektor tenaga negara pada masa depan.
Ketua Unit Geran dan Penerbitan, Institut Dasar dan Penyelidikan Tenaga (IEPRe) di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Dr Vathana Bathmanathan berkata, perjanjian antara Petronas dan Turkmenistan itu menandakan satu pencapaian penting dalam penglibatan tenaga antarabangsa Malaysia, selain mengiktiraf kepakaran negara dalam sektor tenaga global.
Ujar Vathana, di sebalik aspek komersial perjanjian itu, perkembangan berkenaan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memastikan keselamatan tenaga jangka panjang, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan mampan.
“Nilai perjanjian seperti ini melangkaui pengeluaran minyak dan gas pada masa hadapan.
“Ia turut mewujudkan peluang untuk pemindahan pengetahuan, kerjasama penyelidikan, pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti institusi,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Tambahnya, peralihan tenaga global tidak harus dilihat sebagai peralihan mengejut daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Sebaliknya, ia merupakan proses beransur-ansur yang memerlukan keseimbangan antara penjagaan alam sekitar, keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi,” katanya.
Ujarnya, kerjasama Petronas-Turkmenistan turut menunjukkan peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara pragmatik menerusi kerjasama antarabangsa, pembangunan keupayaan dan pelaburan dalam inovasi, tanpa menjejaskan daya tahan ekonomi serta keselamatan tenaga.
Vathana berkata, perjanjian ini hadir tepat pada ketika Malaysia bersiap sedia melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada ekonomi hijau, kemampanan, inovasi dan pembangunan modal insan.
Menurutnya, ketika Malaysia berusaha mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau dan mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050, keseimbangan antara komitmen terhadap alam sekitar, keselamatan tenaga dan pertumbuhan ekonomi akan terus menjadi keutamaan negara.
Dalam konteks itu, perjanjian Petronas-Turkmenistan menunjukkan kepentingan pendekatan yang pragmatik dan seimbang dalam peralihan tenaga, supaya agenda kemampanan dapat diteruskan tanpa menjejaskan kestabilan serta jaminan bekalan tenaga.
Menurutnya lagi, kepentingan perjanjian Petronas-Turkmenistan melangkaui pelaburan atau perjanjian komersial semata-mata.
“Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa keselamatan tenaga, kemampanan dan pembangunan ekonomi saling berkait.
“Selain itu, kerjasama antarabangsa, inovasi dan pembangunan ilmu juga penting dalam membentuk masa depan tenaga Malaysia yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mendepani persekitaran industri yang semakin kompleks, institusi pendidikan tinggi (IPT) juga berperanan melahirkan bakat berkemahiran di samping menyumbang melalui penyelidikan, inovasi, analisis dasar dan kerjasama dengan industri.
Penyelidikan yang tertumpu kepada kelestarian, kecekapan sumber, ekonomi kitaran dan transformasi perniagaan mampan mampu merapatkan jurang antara pelaksanaan teknikal dengan dasar sosioekonomi.
Katanya, melalui kerjasama pelbagai disiplin, IPT boleh membantu memastikan matlamat alam sekitar dicapai seiring dengan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial, bukannya bergerak secara berasingan.
“Pusat Tenaga Nasional (National Energy Centre, NEC) yang menghimpunkan ahli akademik, industri, agensi kerajaan dan pembuat dasar misalnya berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong agenda nasional tersebut.
“Dan melalui rangkaian institut penyelidikan khusus, termasuk IEPRe dapat menyumbang penyelidikan dan pandangan berasaskan bukti mengenai isu seperti keselamatan tenaga, pembaharuan pasaran, dasar tenaga, kelestarian, perubahan iklim serta perancangan tenaga jangka panjang,” katanya.
Jelasnya, walaupun tumpuan segera perjanjian Petronas-Turkmenistan ini ialah pembangunan tenaga, namun nilai jangka panjangnya jauh lebih luas kerana turut melibatkan penyelidikan, inovasi dan pembangunan kapasiti.
“Perkembangan strategik di rantau seperti Asia Tengah membuka peluang kepada universiti dan institusi penyelidikan Malaysia untuk memperkukuh kepakaran dalam bidang seperti keselamatan tenaga, kerjasama tenaga antarabangsa, pasaran gas asli, kelestarian dan peralihan tenaga.
“Melalui platform seperti NEC dan IEPRe, perkembangan ini boleh diterjemahkan kepada penjanaan ilmu, pandangan dasar, pembangunan bakat dan kerjasama industri yang akhirnya mengukuhkan ekosistem tenaga Malaysia,” katanya.