Switzerland kembali ke suku akhir selepas 72 tahun

Iklan
Pemain Switzerland meraikan gol penalti terakhir Ruben Vargasyang membawa pasukan itu melangkah ke suku akhir Piala Dunia. Foto: Agensi

SWITZERLAND menamatkan penantian 72 tahun untuk kembali ke suku akhir Piala Dunia selepas menyingkirkan Colombia menerusi penentuan penalti 4-3 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Vancouver.

Selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan, Switzerland memastikan kemaraan apabila penjaga gol Gregor Kobel menyelamatkan sepakan penalti Cucho Hernandez sebelum Ruben Vargas menyempurnakan sepakan terakhir yang membawa pasukan itu melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Switzerland pada Piala Dunia 1954 apabila mereka kali terakhir mara ke suku akhir kejohanan berkenaan.

Jurulatih Switzerland, Murat Yakin memuji ketenangan pemainnya selain mengakui keputusan melakukan pertukaran pemain pada waktu tepat menjadi faktor penting dalam kemenangan tersebut.

Iklan

"Kemudian saya memasukkan pemain yang tepat pada waktu yang tepat," katanya.

Antara pertukaran penting Yakin ialah memasukkan Vargas, Cedric Itten dan Zeki Amdouni yang membantu memberikan tenaga baharu kepada jentera serangan Switzerland pada penghujung permainan.

Iklan

Vargas yang masuk pada masa kecederaan babak kedua, tidak terjejas dengan tekanan apabila tenang menyempurnakan penalti kemenangan selepas Amdouni turut berjaya menjalankan tugasnya.

"Saya perlu percaya kepada diri sendiri. Saya berasa yakin dan tenang. Hebat rasanya apabila dapat menjaringkan penalti penentu," kata Vargas.

Bagi Yakin, kemenangan itu membuktikan ketahanan mental pasukannya selepas mereka kekal sabar menunggu peluang ketika berdepan Colombia yang turut memberikan tentangan sengit.

Switzerland kini menanti cabaran Argentina di suku akhir selepas juara dunia itu mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan Mesir 3-2.