Rumah Ngaji hayati 10 Muharam bersama komuniti

Iklan
Maziah (kanan) bersama ahli Rumah Ngaji Teluk Muroh dan komuniti setempat bergotong-royong memasak bubur asyura dan bubur lambuk sempena 10 Muharam' baru-baru ini.

LUMUT - Rumah Ngaji Teluk Muroh meneruskan tradisi menghayati 10 Muharram dengan menganjurkan program memasak bubur asyura dan bubur lambuk untuk tahun keenam.

Penggeraknya, Datin Maziah Rafie berkata, program yang bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, memupuk semangat gotong-royong serta menghidupkan budaya saling membantu berjaya mengumpul kira-kira 40 peserta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi platform menyemarakkan syiar Islam dan menyatukan penduduk tanpa mengira usia serta latar belakang.

"Kami juga membuka ruang kepada lebih ramai sukarelawan untuk bersama-sama menjayakan program ini agar semangat kebersamaan terus subur dalam komuniti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebahagian ahli Rumah Ngaji Teluk Muroh bersama komuniti setempat yang terlibat menjayakan program memasak bubur asyura dan bubur lambuk baru-baru ini.

Maziah berkata, selain aktiviti mengacau bubur asyura dan bubur lambuk, program itu turut diisi dengan sesi ramah mesra, gotong-royong, bacaan doa selamat serta pengagihan bubur kepada masyarakat.

Iklan

Menurutnya, sedikit kelainan ditampilkan kali ini apabila semua aktiviti memasak tidak diadakan di Rumah Ngaji Teluk Muroh tetapi dibuat di sebuah restoran iaitu D Warung Ibu Nora di sini.

sebanyak 500 bungkusan bubur berjaya disediakan sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar, masjid, sukarelawan dan golongan yang memerlukan.

Beliau berharap sumbangan itu bukan sahaja dapat menggembirakan masyarakat malah mengukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti.

Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharram merupakan hari yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam.

Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada ALLAH SWT selain memperingati pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam.