KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda tujuh negeri sehingga tengah malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, selain sebahagian kawasan di Sarawak dan Sabah.
Iklan
Iklan
Di Semenanjung, kawasan yang dijangka terjejas ialah seluruh Melaka serta beberapa daerah di Terengganu iaitu Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Keadaan cuaca sama turut diramalkan berlaku di daerah Jerantut dan Bera di Pahang; Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian di Johor.
Di Sarawak, amaran itu melibatkan Sarikei, Sibu, Limbang dan daerah Song di Bahagian Kapit, selain Pusa, Saratok dan Kabong di Bahagian Betong.
Di Sabah pula, kawasan yang dijangka terjejas ialah Sipitang di Bahagian Pedalaman, Sandakan serta daerah Tawau, Kunak dan Lahad Datu di Bahagian Tawau. - Bernama