CHUKAI - Seorang kontraktor kerugian RM98,800 selepas terperdaya dengan penipuan tawaran tender dalam talian, Ahad lepas.
Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Cikgu Adam' dan bertugas di sebuah sekolah di sini sebelum menyatakan hasrat menempah 95 unit kerusi kantin jenis keluli tahan karat.
"Bagi urusan pembekalan itu, mangsa telah menerima sebut harga berjumlah RM351,500 daripada seorang pembekal yang diperkenalkan oleh individu berkenaan (Cikgu Adam).
"Pada Ahad lepas, mangsa telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM98,800 ke dalam satu akaun bank yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berasa curiga telah menyemak dengan pihak sekolah dan kemudian disahkan tiada guru bernama 'Cikgu Adam'.
Mohd Razi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama