Alliance Bank perluas program literasi kewangan pelajar

Iklan
Wong Kah Woh (kiri) dan Aaron Sum ketika perasmian program AEIOU Seeds for Life bagi musim kelapan.

SETELAH lebih sedekad diperkenalkan, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan AEIOU Seeds for Life, musim kelapan yang bertemakan ‘Gaya Hidup Bertanggungjawab, Bijak Berbelanja, Bumi Terpelihara', sekali gus membuka lembaran baharu bagi salah satu program literasi kewangan pelajar yang paling lama dijalankan di Malaysia.

Program Seeds for Life mencerminkan tujuan Alliance Bank sebagai The Bank for Life, yang menyokong individu dan komuniti pada setiap peringkat kehidupan melalui inisiatif yang bermakna dan berteraskan masa hadapan.

Iklan
Iklan

Diperkenalkan buat pertama kali 11 tahun lalu, program peringkat kebangsaan tersebut bukan sahaja mengajar konsep kewangan, malah menggalakkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi dunia sebenar.

Ia menekankan bagaimana keputusan kewangan harian, seperti menabung, berbelanja dan merancang, berkait rapat dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta amalan hidup lestari.

Iklan

Buat pertama kalinya, program berkenaan turut diperluaskan melangkaui sekolah rendah ke sekolah menengah, serta menjangkau Pantai Timur, di samping melibatkan beberapa sekolah antarabangsa dan swasta terpilih.

Selain itu, ia juga akan diperluaskan ke sekolah antarabangsa dan swasta, sekali gus mengembangkan impaknya ke lebih banyak komuniti di seluruh negara.

Iklan

Timlan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program tersebut mencerminkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha melengkapkan generasi akan datang dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran praktikal yang diperlukan demi masa depan.

"Inisiatif ini selari dengan pengenalan subjek baharu Alam dan Manusia oleh Kementerian Pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum berkata, melalui modul Biodiversiti, pelajar akan mempelajari bagaimana amalan seperti penjimatan air, penggunaan tenaga secara berhemah dan pemilihan produk mesra alam bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, tetapi juga menjana penjimatan kos dalam masa panjang.

"Ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan yang bijak dan kelestarian alam sekitar saling berkait rapat," katanya.

Dalam pada itu, bagi mengukuhkan lagi aspek alam sekitar dalam program berkenaan, Alliance Bank turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jane Goodall's Roots & Shoots Malaysia, sebagai pakar rujuk dalam kandungan kurikulum berkaitan biodiversiti, bagi mempersiapkan pembelajaran yang lebih mendalam dan sahih.

Siri bengkel AEIOU Seeds for Life Musim Ke-8 telah bermula pada 11 Jun lalu di beberapa sekolah terpilih di seluruh negara.

Tumpuan utama program ini adalah dua peringkat kebangsaan iaitu AEIOU Eco-Comic Challenge bagi murid sekolah rendah dan AEIOU Eco-Pitching Challenge untuk pelajar sekolah menengah.

Jumlah hadiah keseluruhan berjumlah RM35,000, dan pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara praktikal dan kreatif.

Sejak dilancarkan pada 2015, program AEIOU telah membawa manfaat kepada lebih 148,000 murid di seluruh negara.

Program tersebut turut melibatkan lebih 2,900 guru dan memberi impak kepada lebih 3,510 sekolah, sekali gus memperkukuhkan peranan pendidik dalam membimbing pelajar ke arah amalan kewangan yang bijak dan gaya hidup bertanggungjawab.