KUALA LUMPUR - Institusi pembiayaan dan bank perlu mempercepat tahap kelulusan pemberian pinjaman kepada usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tahap kecepatan kelulusan perlu dipendekkan berbanding tempoh sedia ada.
"Hal ini sangat jelas, tiada makna kalau kita berikan peruntukan yang besar tapi sukar mendapatkan pinjaman. Sebab itu ada beberapa kaedah, terutama bank-bank (dan institusi pembiayaan) yang berurusan dengan syarikat-syarikat kecil dari segi tahap kecepatan kelulusan
"Umpamanya pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, penyalurannya boleh dipendekkan sehingga lima hari, Bank Rakyat (daripada) 14 hari kepada enam hari bekerja bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"SME Corp juga diturunkan. SME Bank (bagi) pembiayaan RM100,000 dan RM1 juta, mesti diluluskan dalam tempoh 15 hari bekerja," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta menyatakan sama ada kerajaan mengetahui bahawa terdapat bank yang menetapkan syarat terlalu tinggi kepada bakal peminjam dan memilih bidang perniagaan serta negara pelaburan.
Bagaimanapun, Anwar bersetuju dengan tindakan memilih negara pelaburan kerana tidak jelas peraturan yang ditetapkan dan tekanan negara luar khususnya dari Amerika Syarikat yang menjadikan perniagaan negara ini dengan negara tertentu seperti Iran dan Rusia sangat sukar.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) agar diwujudkan skim pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk golongan anak muda kerana pinjaman itu kini dilihat lebih tertumpu kepada wanita.
Anwar berkata, AIM tidak dikhaskan hanya untuk kelompok kaum wanita kerana ia turut dinikmati peminjam lelaki.
"Tetapi saya setuju kalau nampak ketinggalan sedikit golongan lelaki ini, kita tingkatkan pinjaman kepada golongan ini yang memerlukan dan keduanya kepada anak muda. Dalam beberapa pertemuan di Terengganu, Johor dan Kedah baru-baru ini, saya tidak nampak anak muda menggunakan kemudahan pinjaman AIM.
"Saya akan minta AIM berikan sedikit tumpuan dalam kalangan anak muda. Kadar pinjaman mungkin lebih kecil atau sederhana tapi cara pengurusan dan kaedahnya lebih terjamin dari segi pembayaran semula serta pengurusannya lebih cekap," ujar beliau.