KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti faktor yang menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia merosot selain meneruskan langkah memperkukuh kebebasan media tanpa mengabaikan kepentingan keselamatan serta keharmonian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil serius kedudukan Malaysia dalam indeks yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) itu, walaupun kedudukan negara masih lebih baik berbanding negara lain termasuk ASEAN
Menurutnya, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama pihak berkaitan perlu meneliti punca penurunan tersebut kerana penilaian RSF bukan hanya berdasarkan aspek kebebasan media, tetapi turut mengambil kira konteks politik, kerangka perundangan, ekonomi, sosial budaya serta keselamatan.
“Kalau ikut dasar, kita sepatutnya berusaha memperbaiki Indeks Kebebasan Media. Kita tahu dari tahun 2013 hingga 2022 kedudukan kita berubah-ubah dan sekarang ada masalah yang perlu diteliti selepas berlaku penurunan pada 2025.
“Jadi saya minta jawatankuasa termasuk Menteri Komunikasi, meneliti apa masalahnya walaupun secara relatif kedudukan kita masih baik,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai faktor kemerosotan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang menurun ke tangga 95 berbanding 88 tahun lalu, serta langkah komprehensif kerajaan melindungi hak kebebasan media.
Anwar menegaskan, kerajaan juga mengambil kira kesan sesuatu tindakan kepada media terhadap penilaian antarabangsa, termasuk apabila tindakan dikenakan kepada organisasi media tempatan yang boleh memberi persepsi negatif terhadap kebebasan media.
Bagaimanapun, katanya, terdapat keadaan yang melibatkan perkara lebih besar seperti penghinaan terhadap simbol negara atau isu 3R (raja, agama dan kaum) yang memerlukan tindakan sewajarnya.
“Kalau ada akaun media sosial mengambil gambar raja kemudian dipamerkan bersama unsur menghina, bagi kita itu kesalahan besar.
“Jadi apakah kita boleh biarkan fitnah, penghinaan dan mengaibkan orang. Jadi janganlah kita tidak boleh mengatakan ia kerana perbezaan pandangan politik, semua perkara boleh diizinkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan sentiasa memberi ruang untuk kritikan termasuk terhadap institusi tertentu, namun ia perlu dibuat berasaskan fakta dan tidak melibatkan penghinaan atau serangan terhadap kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Ujarnya, kritikan terhadap pengurusan institusi seperti zakat misalnya adalah dibenarkan tetapi tidak boleh menghina atau merendahkan institusi diraja.
Mengenai tindakan terhadap kandungan di platform digital seperti TikTok dan Facebook, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan semua kandungan dipadam kerana keputusan itu turut bergantung kepada polisi platform berkenaan.
Katanya, pengguna boleh membuat aduan terus kepada platform terbabit atau melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
“Kadang-kadang kita kemukakan aduan tetapi platform tidak mahu padamkan kerana mereka melihatnya sebagai hak kebebasan media. Ada perkara yang kita anggap tidak wajar, tetapi keputusan akhir masih bergantung kepada platform,” kata beliau.