Suri rumah maut, kenderaan dirempuh lori sebelum bertembung Proton Iswara

Iklan
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan Perodua Axia dipandu mangsa sebelum dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 50, Simpang Tiga Kampung Batu 29, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Setiu pada Isnin.

​SETIU – Seorang suri rumah maut selepas Perodua Axia yang dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah belakang dalam kejadian di Kilometer 50, Simpang Tiga Kampung Batu 29, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini pada Isnin.

​Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa, Rusmawati Ismail, 58, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Setiu.

Iklan
Iklan

​Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis Isuzu Rigid, kereta Perodua Axia dan Proton Iswara.

​Menurutnya, sebelum kejadian, lori Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Kota Bharu dipercayai telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Iklan

​"Lori berkenaan kemudiannya merempuh bahagian belakang Perodua Axia dipandu mangsa yang ketika itu sedang berhenti untuk membelok masuk ke simpang sebelah kanan.

​"Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan kereta dipandu mangsa bergerak masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

​Zahril Asri berkata, pemandu Proton Iswara yang mengalami kecederaan pada bahagian pinggul turut dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

​Katanya, pihak polis menerima maklumat mengenai insiden itu jam 4.01 petang.

​"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

​"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun," jelas beliau.

​Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama.

​Pihak polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan di Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043.