KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut dan mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak berhubung dakwaan pengusaha stesen minyak menanggung kerugian semasa peralihan pelaksanaan pembaharuan subsidi diesel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai kerjasama syarikat dan stesen minyak dalam menjayakan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.
"Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.
"Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan. Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, Insya-ALLAH kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Howard Lee (PH-Ipoh Timor) yang membangkitkan isu setiap pengusaha stesen minyak didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi.
Anwar berkata, kerajaan sebelum ini tidak mahu tergesa-gesa melaksanakan penambahbaikan subsidi diesel kerana perlu mengambil kira keadaan di Sabah dan Sarawak yang lebih kompleks berbanding Semenanjung.
Beliau menegaskan, penggunaan diesel yang lebih tinggi, faktor jarak di kawasan pedalaman serta bilangan stesen minyak yang lebih terhad memerlukan penelitian sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI Madani Diesel (Budi Diesel) tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
BUDI Diesel yang bermula 1 Julai lalu membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026.
Pelaksanaan berkenaan dijangka memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.