Pindah wang simpanan 18 kali dalam dua hari, penjawat awam rugi RM63,438

Iklan
Seorang penjawat awam wanita kerugian RM63,438 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian. Gambar hiasan

​KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam wanita kerugian RM63,438 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian sehingga sanggup melakukan 18 transaksi pemindahan wang dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 43 tahun tidak menyedari diperdaya sehingga kesemua wang simpanannya habis dipindahkan ke beberapa akaun bank berbeza.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, kejadian bermula pada 3 Julai lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan.

​"Mangsa yang tertarik kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi Telegram dan diarahkan melaksanakan tugasan transaksi wang dengan jaminan akan menerima bayaran upah mengikut kadar ditetapkan.

Iklan

​"Bagaimanapun, bagi tujuan menebus bayaran upah tersebut, suspek telah meminta mangsa melakukan transaksi lain secara berterusan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

​Azli berkata, keghairahan mengejar komisen menyebabkan mangsa melakukan sebanyak 18 kali transaksi pemindahan wang bermula 5 hingga 6 Julai 2026.

Iklan

​"Hasil siasatan mendapati, transaksi pertama dibuat pada 5 Julai jam 11.32 pagi berjumlah RM200 ke sebuah akaun bank manakala siri transaksi seterusnya terus meningkat mencecah ribuan ringgit termasuk menerusi imbasan kod QR.

​"Secara keseluruhan, mangsa telah memindahkan wang miliknya ke beberapa akaun berbeza. Transaksi terakhir dilakukan berturut-turut pada 6 Julai antara jam 11.41 pagi hingga 12.28 tengah hari sebelum mangsa akhirnya menyedari ditipu lalu tampil membuat laporan polis pada jam 8.27 malam hari yang sama," katanya.

​Beliau berkata, kesemua kerugian tersebut melibatkan wang simpanan peribadi mangsa dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Pihak polis sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terumpan dengan sebarang tawaran kerja atas talian yang menjanjikan pulangan mudah dan lumayan, serta sentiasa membuat semakan akaun bank melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang pindahan wang," ujarnya.