JAS kenal pasti pembakaran haram dalam ladang sebabkan kacau ganggu

Iklan
Pasukan bomba dipanggil untuk membantu memadam saki baki longgokan yang masih berasap. Foto JAS

KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenal pasti kesan pembakaran haram membabitkan longgokan plastik, baju terpakai dan konkrit sehingga menyebabkan kacau ganggu dan ketidakselesaan penduduk sekitar Padang Serai di sini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemantauan dibuat hasil aduan pengadu dari kawasan perumahan Taman Puteri yang mengesan pencemaran berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Iklan
Iklan

JAS kenal pasti kesan pembakaran haram membabitkan longgokan sisa buangan di dalam ladang kelapa sawit di Kulim. Foto JAS

Menurutnya, sebanyak 13 aduan bau yang kurang menyenangkan diterima pihak JAS melalui e-Aduan pada 3 dan 4 Julai lalu bermula 9.37 malam hingga 2.30 pagi.

Iklan

"Siasatan ke kawasan sekitar telah menjumpai beberapa longgokan sisa pembakaran dalam ladang kelapa sawit disyaki buangan plastik, 'fibreglass', kertas terpakai, baju-baju terpakai, konkrit dan lain-lain sampah domestik.

"Pengadu memaklumkan terdapat isu pencemaran bau tengik yang berlaku sejak beberapa hari lalu seolah-olah bau dari pembakaran bahan kimia, getah dan plastik seperti bau gas welding. Pengadu juga mendakwa situasi itu menyebabkan kacau ganggu bau busuk yang menyengat hidung sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk terutamanya pada waktu malam sehingga awal pagi," katanya.

Iklan

Beliau berkata, Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech telah dipanggil untuk membantu memadam saki baki longgokan yang masih berasap.

"Pemantauan dan rondaan diteruskan pada waktu malam di kawasan tersebut bagi menyiasat sama ada terdapatnya penyumbang lain terhadap bau busuk seperti yang dilaporkan sebelumnya.

"Bagaimanapun hasil pemantauan seterusnya mendapati tidak menjumpai punca pencemaran bau busuk lain," katanya.

JAS Kedah masih meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan. Foto JAS

Sehingga kini, JAS Kedah masih meneruskan pemantauan di kawasan sama.

"Semua pihak diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya melupuskan apa jua buangan dan melakukan pembakaran terbuka kerana ia mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam.

"Aduan pelupusan sisa domestik secara haram ini juga dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran di talian 012-4172832 atau talian bebas tol 1-800-88-2727 dan eaduan.doe.gov.my.