SHAH ALAM - Berbaki lima hari lagi menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin giat berkempen.
Ia susulan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membacakan talkin khusus buat pengundi di negeri itu.
Beliau secara seloroh berkata, pengundi patut mengambil kesempatan yang ada ketika ini untuk meminta apa sahaja, tidak kira daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain asalkan jangan mengundi parti berkenaan.
"Apabila diberi RM100, mintalah RM500. Apabila diberi kopi atau teh, mintalah Milo, susu dan beras untuk keperluan selama sebulan.
"Namun apabila diminta untuk mengundi mereka, jawablah dengan lidah yang fasih dan terang. Kami tetap akan undi Harapan," ujarnya.
Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka itu berkata demikian menerusi gimik kempen PH yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi pelbagai, ada yang menyifatkannya sebagai kreatif namun tidak kurang juga mengecam.
Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai manakala hari pengundian pada 11 Julai ini selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan 1 Jun lepas.
Mengikut statistik SPR, PRN Johor kali ini menyaksikan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Suhu politik di negeri ini dijangka memuncak dengan penampilan gabungan calon muka baharu, penyandang, selain kemunculan semula bekas wakil rakyat yang dipertaruhkan oleh parti masing-masing bagi merebut 56 kerusi DUN.
PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan agihan 20 calon daripada PKR, Parti Amanah Negara (19) dan DAP (17).
BN turut bertanding di kesemua kerusi dengan menampilkan 36 calon UMNO, MCA (16) serta MIC (empat).
PN pula mengumumkan bertanding menerusi Pas di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) satu kerusi.
Persaingan kali ini turut melibatkan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan pertama Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding bagi 15 kerusi DUN tersebut.