MARAN - Laluan di Kilometer 136.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat ditutup kira-kira satu jam ekoran kemalangan melibatkan lori balak terbalik menyebabkan muatan kayu balak dibawa jatuh dan menghalang laluan itu pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, laluan tersebut dibuka semula kepada semua pengguna selepas kerja pembersihan lokasi kemalangan itu selesai dijalankan pihak konsesi lebuh raya terbabit.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan kira-kira jam 5.10 petang itu dilaporkan berlaku ketika lori jenis Mercedes terbabit dalam perjalanan dari arah Lanchang menghala ke Jengka.
"Akibat kejadian itu, muatan kayu balak yang dibawa terjatuh menyebabkan laluan menghala ke Kuala Lumpur terhalang," katanya.
Kim Wai berkata, pemandu lori yang hanya mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya.
Justeru beliau memohon kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-62262479 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.