BINTANG terkenal Bollywood, Aamir Khan, 61, selamat mendirikan rumah tangga bersama usahawan Gauri Spratt, 47, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di kediamannya di Mumbai pada Ahad.
Perkahwinan itu merupakan yang ketiga buat pelakon filem 3 Idiots tersebut.
Majlis berkenaan hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat, termasuk anak-anak Aamir, pengarah Ashutosh Gowariker, pelawak Vir Das dan pelakon Elli AvrRam.
Sebelum ini, Aamir pernah berkahwin dengan penerbit Reena Dutta dari 1986 hingga 2002, sebelum mendirikan rumah tangga dengan pengarah Kiran Rao pada 2005. Pasangan itu berpisah pada 2021.
Aamir dan Gauri dilaporkan mula berkenalan lebih dua dekad lalu sebelum kembali menjalinkan hubungan menerusi sepupu pelakon itu.
Mereka mengumumkan hubungan secara terbuka pada Mac 2025 sempena sambutan ulang tahun kelahiran Aamir yang ke-60.
Sepanjang lebih lima dekad dalam industri perfileman India, Aamir dikenali sebagai antara ikon terbesar Bollywood menerusi filem-filem pecah panggung seperti Ghajini (2008), 3 Idiots (2009) dan PK (2014).
Filem Dangal (2016), yang diterbitkan dan dibintangi beliau, masih kekal sebagai filem India dengan kutipan tertinggi di dunia, meraih lebih AS$300 juta (kira-kira RM1.2 bilion).
Gauri pula dilaporkan aktif dalam industri kecantikan dan kini turut menyumbang secara kreatif kepada syarikat produksi Aamir Khan Productions.-Agensi