Mustapha Sakmud jambatan antara Putrajaya dan Borneo

Iklan
Mustapha Sakmud (kanan) dan Dr Hussain Yusri

SELAMA lebih enam dekad selepas pembentukan Malaysia, Sabah dan Sarawak sering menjadi subjek tuntutan, perbahasan dan janji politik. Namun bagi rakyat di kedua-dua wilayah ini, ukuran sebenar kejayaan bukan lagi terletak pada banyaknya tuntutan yang diulang, tetapi sejauh mana ia diterjemahkan kepada keputusan, projek dan manfaat yang boleh dirasai.

Dalam konteks inilah langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar penyusunan pentadbiran.

Iklan
Iklan

Pelantikan Datuk Ts. Mustapha Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut melengkapkan pendekatan itu.

Dengan pengalaman dalam bidang pembangunan dan pentadbiran, beliau bukan sahaja menyelaras dasar, malah menjadi penghubung strategik antara aspirasi Sabah dan Sarawak dengan keupayaan Kerajaan Persekutuan melaksanakan penyelesaian. Peranan inilah yang menjadikan beliau jambatan antara Putrajaya dan Borneo.

Iklan

Antara pembaharuan penting ialah pelaksanaan Dashboard MA63, yang membolehkan status 29 perkara utama MA63 dipantau secara lebih telus dan sistematik. Setakat ini, 13 perkara telah diselesaikan, lima mencapai penyelesaian interim, dua memperoleh keputusan dasar, manakala selebihnya masih dalam rundingan atau menunggu keputusan peringkat tertinggi.

Pendekatan ini mengubah MA63 daripada sekadar slogan politik kepada agenda pelaksanaan yang boleh diukur.

Iklan

Antara pencapaian penting ialah pengembalian pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah, penyerahan kuasa kawal selia LPG kepada Sarawak, pengiktirafan JKR dan JPS Sabah serta Sarawak sebagai Jabatan Teknik, selain penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam aspek kewangan pula, Kerajaan MADANI meningkatkan Pemberian Khas Interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara mekanisme tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.

Namun kekuatan kepimpinan tidak hanya diukur melalui kejayaan menggubal dasar. Nilai sebenar seseorang pemimpin terserlah apabila dasar tersebut diterjemahkan kepada pelaksanaan.

Dalam hal ini, Mustapha memperlihatkan pendekatan yang menekankan pemantauan, penyelarasan dan penyelesaian masalah di lapangan.

Pendekatan itu jelas ketika lawatan kerja beliau ke Tawau yang dimulakan dengan taklimat pembangunan infrastruktur oleh Majlis Perbandaran Tawau bersama agensi teknikal.

Lawatan tersebut bukan sekadar mengumumkan projek, tetapi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan pembangunan sebelum tindakan susulan diselaraskan di peringkat Persekutuan.

Hasil pendekatan itu, Tawau dilaporkan mencatat prestasi pembangunan yang mengatasi purata negeri, sekali gus membuktikan bahawa penyelarasan yang berkesan mampu meningkatkan kecekapan penyampaian projek kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, Mustapha tidak berselindung daripada mengakui kelemahan yang masih wujud. Beliau secara terbuka menyatakan hasrat agar Sabah tidak lagi dikenali sebagai negeri yang dibelenggu projek sakit.

Baginya, kelewatan projek pembangunan Persekutuan bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menjejaskan kesejahteraan rakyat, menghakis keyakinan terhadap kerajaan dan memperlahankan pembangunan negeri.

Justeru, beliau menggesa tindakan lebih tegas melalui pemantauan berkala, penambahbaikan penyelarasan antara agensi serta peningkatan akauntabiliti bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual. Pendekatan itu diterjemahkan melalui tindakan terhadap 22 projek sakit di Sabah.

Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu yang melibatkan Jabatan Teknikal Utama (JTU), sekali gus menunjukkan bahawa fokus beliau bukan mencari pihak yang perlu dipersalahkan, tetapi memperbaiki sistem supaya kelewatan tidak terus berulang.

Pendekatan berorientasikan penyelesaian ini penting kerana setiap projek yang lewat disiapkan bermakna manfaat kepada rakyat turut tertangguh. Portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak juga merangkumi aspek keselamatan strategik.

Pembinaan Pos Kawalan Sempadan di Kampung Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dengan peruntukan RM7.5 juta membuktikan bahawa pembangunan Sabah tidak boleh dipisahkan daripada kepentingan keselamatan negara.

Projek ini dijangka memperkukuh kawalan sempadan Malaysia-Indonesia, membendung penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, di samping meningkatkan kehadiran kerajaan di kawasan strategik.

Dalam menangani isu sensitif seperti petisyen berkaitan pemegang dokumen IMM13 pula, Mustapha mengambil pendekatan yang matang dan berhemah.

Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut perlu diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar dengan mengambil kira faktor sejarah, perundangan dan komitmen antarabangsa Malaysia. Pendekatan ini memperlihatkan keseimbangan antara kepentingan keselamatan, kemanusiaan dan tanggungjawab negara.

Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, termasuk Akta Laut Wilayah 2012, pelantar benua, pembayaran tunai petroleum dan pertambahan kerusi Parlimen.

Namun yang membezakan keadaan hari ini ialah isu-isu tersebut berada dalam radar rasmi kerajaan dan dipantau melalui mekanisme yang lebih tersusun.

Akhirnya, kejayaan seseorang menteri tidak diukur melalui banyaknya kenyataan media atau kekerapan lawatan rasmi, tetapi sejauh mana beliau mampu menghubungkan dasar dengan pelaksanaan.

Dalam tempoh yang singkat, Mustapha memperlihatkan usaha mengubah pendekatan daripada tuntutan kepada pelaksanaan, daripada projek sakit kepada projek siap, dan daripada melihat Sabah serta Sarawak sebagai wilayah pinggiran kepada meletakkannya sebagai sebahagian penting agenda pembangunan negara.

Itulah yang menjadikan beliau benar-benar berperanan sebagai jambatan antara Putrajaya dan Borneo.

*Dr Hussain Yusri Zawawi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)