PUTRAJAYA – Keluarga yang menjaga orang kelainan upaya (OKU), pesakit dan warga emas bakal mempunyai penanda aras kos sara hidup lebih tepat apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) buat julung kali membangunkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) khusus bagi kumpulan berkeperluan khas.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengukur kos sara hidup sebenar yang ditanggung isi rumah berkenaan, malah dijangka menjadi rujukan penting kepada kerajaan dalam merangka bantuan kewangan, subsidi, sokongan penjagaan serta program perlindungan sosial yang lebih bersasar.
Menurutnya, pembangunan dan pengemaskinian PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas bertujuan mengenal pasti kos sara hidup sebenar keluarga yang mempunyai ahli keluarga berkeperluan khas dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan tambahan bagi mencapai taraf kehidupan yang wajar.
Inisiatif tersebut meliputi tujuh kategori ketidakupayaan dalam kalangan OKU iaitu pendengaran, penglihatan, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental serta pelbagai ketidakupayaan.
"Ia turut meliputi pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah sama ada terlantar atau tidak terlantar, selain warga emas yang memerlukan penjagaan khusus," katanya menerusi Program Simfoni Data dan Media: Wacana Khas, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, selain perbelanjaan asas seperti makanan, perumahan, utiliti dan pengangkutan, PAKW turut mengambil kira pelbagai kos tambahan yang lazim ditanggung keluarga, termasuk alat bantuan dan peralatan sokongan, kos rawatan, ubat-ubatan, terapi, perkhidmatan penjagaan serta peranti yang menyokong aktiviti harian dan komunikasi.
"Bagi pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah, turut diambil kira keperluan pemakanan khas seperti susu formula perubatan serta keperluan berkaitan penjagaan harian.
"Pendekatan ini memastikan PAKW yang dibangunkan lebih mencerminkan keperluan sebenar kumpulan berkeperluan khas serta kos sara hidup yang ditanggung oleh keluarga," jelas beliau.
Mohd Uzir berkata, PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas menyediakan penanda aras kos sara hidup yang boleh dimanfaatkan rakyat untuk memahami keperluan perbelanjaan minimum mengikut keadaan isi rumah masing-masing.
Menurutnya, data itu juga menjadi rujukan penting kepada pembuat dasar dalam merangka, menyelaras dan menilai dasar serta program perlindungan sosial yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan sebenar kumpulan berkeperluan khas.
Beliau berkata, pembangunan PAKW dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara DOSM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan setiap komponen perbelanjaan yang dikenal pasti bersandarkan keperluan sebenar serta kepakaran teknikal agensi berkaitan.
Tambahnya, kemas kini PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas dijangka dimuat naik ke dalam Kalkulator MyPAKW menerusi portal mypakw.dosm.gov.my serta aplikasi mudah alih MyPAKW pada Ogos ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh penyediaan statistik rasmi yang lebih inklusif.