652 wau berentap di Terbuka Selangor

Iklan
Sebanyak 10 wau terbaik beraksi pada pusingan akhir Pertandingan Wau Terbuka Selangor.

BANTING – Sebanyak 652 wau dipertandingkan dalam Pertandingan Wau Terbuka Selangor yang berlangsung di Padang Awam Kampung Kelanang di sini pada Sabtu.

Pertandingan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu menghimpunkan hampir 300 peserta dari pelbagai negeri, namun acara terpaksa ditangguhkan lebih sejam berikutan hujan ketika saingan peringkat saringan sedang berlangsung.

Iklan
Iklan

Pasukan Adik Beradik yang diwakili Heriani Rahmad muncul juara selepas menewaskan pasukan Cempaka yang diwakili Amirul Muaz Sulaiman pada pusingan akhir.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Buluh Perindu yang diwakili Ahmad Wagiman Mokhtar.

Iklan

Kemenangan itu melayakkan Heriani membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, manakala Amirul menerima RM700 dan Ahmad Wagiman memperoleh RM400.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Penghulu Mukim Morib/Kelanang, Sharip Ahmad.

Iklan

Sharip (empat dari kanan) bergambar bersama pemenang Pertandingan Wau Terbuka Selangor di Padang Awam Kampung Kelanang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kelanang, Norhairi Mohd Yulah; Pengurus Strategik Korporat Tourism Selangor merangkap Sekretariat Geran Pelancongan Selangor, Halim Hamdan serta Pengurus Aspirasi Jitu, Hanifah Ab Salam.

Heriani, 46, berkata, kemenangan itu disifatkan sebagai rezeki memandangkan pasukan yang mara ke pusingan akhir merupakan pencabar berpengalaman.

“Pasukan Cempaka, contohnya telah memenangi lebih lima pertandingan sebelum ini. Mereka mempunyai layang-layang dan wau yang sangat baik.

“Namun, hari ini rezeki memihak kepada pasukan Adik Beradik. Kami kekal komited meneruskan pertandingan walaupun hujan menyebabkan saingan tertangguh di pertengahan pusingan saringan,” katanya.