GEORGE TOWN – Kemerosotan populasi katak di Malaysia perlu diberi perhatian serius kerana kehilangan spesies amfibia itu bukan sahaja mengancam keseimbangan ekosistem, malah boleh meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan nyamuk serta menjejaskan kelangsungan biodiversiti negara.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara 17 negara megabiodiversiti dunia, usaha pemuliharaan masih lebih tertumpu kepada hidupan liar yang lebih besar, sedangkan katak memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan alam sekitar.
Menurutnya, kemerosotan populasi katak di seluruh dunia memerlukan perhatian segera kerana kelangsungan hidup haiwan itu berkait rapat dengan keadaan ekosistem.
“Malaysia mempunyai kepelbagaian spesies katak dan kodok yang luar biasa, sekali gus mencerminkan kedudukannya sebagai salah satu negara yang paling kaya dengan biodiversiti.
“Sebagai antara hanya 17 negara megabiodiversiti, Malaysia menempatkan hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia serta sejumlah besar spesies endemik, menjadikan negara ini memainkan peranan penting dalam pemuliharaan biodiversiti global,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan penerbitan Frogs & Toads of Malaysia oleh Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS), negara ini menjadi habitat kepada 254 spesies katak dan kodok yang kebanyakannya hidup di kawasan hutan hujan serta tanah lembap.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 111 spesies direkodkan di Semenanjung Malaysia, manakala 182 spesies terdapat di Sabah dan Sarawak, serta 39 spesies ditemui di kedua-dua wilayah berkenaan.
“Katak merupakan sekutu alam semula jadi yang amat bernilai kerana membantu mengawal populasi serangga, menyokong jaringan makanan dan menjadi petunjuk awal terhadap kemerosotan alam sekitar,” ujarnya.
Menurut beliau, seekor katak mampu memakan ratusan serangga seperti nyamuk, lalat dan kumbang dalam tempoh yang singkat, sekali gus membantu mengurangkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan malaria.
“Tanpa katak, populasi serangga boleh meningkat dengan mendadak, sekali gus meningkatkan risiko kepada kesihatan awam dan menyebabkan kerosakan yang lebih besar terhadap tanaman,” katanya.
Ujarnya, katak turut menjadi sumber makanan penting kepada pelbagai spesies lain termasuk burung, ular, ikan dan mamalia. Justeru, penurunan populasinya akan memberi kesan berantai terhadap keseluruhan jaringan makanan.
Tambah beliau, haiwan itu juga berfungsi sebagai penunjuk semula jadi kepada kesihatan alam sekitar kerana kulitnya yang nipis dan telap menjadikannya sangat sensitif terhadap pencemaran, perubahan iklim dan kemusnahan habitat.
“Penurunan populasi katak sering menjadi amaran awal bahawa sungai, tanah lembap, hutan dan habitat semula jadi lain sedang mengalami kemerosotan.
“Atas sebab itu, saintis menggunakan katak sebagai indikator untuk memantau kesihatan ekosistem dan mengesan masalah alam sekitar sebelum menjadi lebih serius,” katanya.
Jelas Mohideen, katak turut memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien apabila berudu memakan alga dan bahan organik yang mereput di kolam serta sungai, sekali gus membantu mengekalkan kebersihan air.
“Katak dewasa pula membantu mengitar semula nutrien antara kawasan akuatik dan daratan melalui tabiat pemakanan serta perkumuhannya, sekali gus menyokong ekosistem yang sihat.
“Populasi katak kini berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat akibat pembandaran pesat, pencemaran air daripada racun makhluk perosak, sisa industri dan sampah plastik serta kesan perubahan iklim,” tambahnya.
Kata beliau, perubahan corak taburan hujan dan suhu akibat perubahan iklim turut menyukarkan banyak spesies katak untuk membiak dengan berjaya.
Beliau turut menyifatkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan katak sebagai antara faktor yang memburukkan lagi keadaan apabila haiwan itu sering dianggap sebagai perosak, bukannya komponen penting dalam ekosistem.
“Sehubungan itu, usaha melindungi katak bukan sekadar langkah memulihara hidupan liar, sebaliknya penting untuk memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan generasi akan datang.
“CAP menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang alam sekitar bagi melindungi kawasan tanah lembap, sungai dan hutan, selain menggesa petani mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak berbahaya dengan mengamalkan kaedah pertanian yang lebih mesra alam,” katanya.
Tambahnya lagi, populasi katak yang sihat menyumbang kepada air yang lebih bersih, pengurangan serangga pembawa penyakit, ekosistem yang lebih seimbang serta kepelbagaian biologi yang lebih kaya.
“Setiap spesies, walau sekecil mana pun, memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian alam semula jadi.
“Jika katak pupus, kesannya bukan sekadar kehilangan satu kumpulan haiwan, malah menjadi petanda bahawa ekosistem yang menyokong kehidupan manusia dan hidupan liar semakin lemah,” katanya.